Ramadan bulan membajai diri

No Image Caption
A
A
A

INSYA-ALLAH pada 13 April ini, kita akan menyambut bulan Ramadan, bulan yang mulia dan diberkati.

Hakikatnya, puasa di bulan Ramadan adalah sebahagian daripada perintah ALLAH dalam melengkapi Rukun Islam.

Sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, 2:183).

Pun begitu, walaupun perintah daripada ALLAH, masih ramai lagi yang mensia-siakan ibadat puasa ini sepertimana perintah ALLAH yang lain iaitu solat, menunaikan zakat serta mengerjakan ibadat haji.

Sesungguhnya darjat berpuasa di bulan Ramadan amatlah tinggi. Menurut Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH telah berfirman: ‘Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai.

“Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats (perbuatan kotor dan buruk), dan jangan pula menghina orang.

“Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’. Demi ALLAH yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi ALLAH pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi.

“Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia berasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya kerana puasanya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Artikel Berkaitan:

Sebetulnya, masih ramai dalam kalangan kita yang menjadikan puasa sebagai aktiviti rutin tahunan semata-mata.

Justeru, adat berpuasa telah melebihi syariat. Akhirnya bulan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa berbekas di hati.

Jika ada umur yang panjang, bulan Ramadan akan datang lagi dan terus kembali lagi, bagi memberi peluang kepada kita menjadi orang yang bertakwa.

Pun begitu, sampai bila pun impak bulan Ramadan tidak akan berbekas di hati selagi tidak berusaha mencari ‘kelazatannya’.

Pendek kata, bulan Ramadan adalah masa yang cukup sesuai untuk ‘membajai’ diri.

Apabila kita dibajai dengan segala amalan yang dituntut sepanjang Ramadan, maka hati yang memimpin diri kita akan menjadi kuat bagi mendepani ujian 11 bulan yang akan datang.

Kekuatan

Secara analoginya, hati yang diperkuatkan sepanjang Ramadan sebagaimana akar pokok yang sentiasa dibajai. Sewaktu ribut dan kemarau, akar inilah yang akan mempertahankan pokok daripada tumbang dan mencari sumber air hingga ke perut bumi..

Apa yang jelas, sepanjang 11 bulan lalu, walaupun sekuat mana hati kita, tentunya ada tempat yang terluka dan serpih kerana besarnya ujian yang dihadapi sebelum ini.

Lantaran itu, bulan Ramadan ini akan menjadi platform untuk mengembalikan semula kekuatan hati yang robek sebelum ini.

Pada hemat saya, bagi membajai diri perlu direncanakan segala amalan-amalan mulia sepanjang bulan Ramadan.

Kita masih ada masa, rancanglah setakat mana kemampuan sedekah kita dan berapa kerap menjamu orang berbuka berpuasa nanti.

Perkukuhkan lagi solat dengan memahami makna bacaan solat, memperbanyakkan solat sunat, meningkatkan zikir dan membaca al-Quran.

Paling penting, berdoalah dengan hati yang khusyuk dan penuh harapan agar ALLAH terima segala amalan dan reda kepada kita.

Ingatlah, jika Ramadan ini masih belum berbekas di hati, sesungguhnya kita telah menzalimi diri sendiri.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis