Sudah jangka pembebasan awal

No Image Caption
A
A
A

KUCHING – Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang melaksanakan peranan penting sehingga membawa kepada pembebasan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja semalam, berkata, beliau sememangnya menjangkakan pembebasan awal itu sejak beberapa hari lepas.

Pada Rabu, beliau berlepas ke Kemboja bersama-sama anggota keluarga rakyat Malaysia yang ditahan itu, masing-masing berusia antara 19 hingga 44 tahun, selain anggota media, untuk meninjau situasi sebenar di penjara Banteay Meanchey, kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh.

“Kami memang sudah menjangkakan pembebasan awal beberapa hari sebelum ini, bagaimanapun, kami tidak mahu memberi harapan palsu kepada anggota keluarga seandainya perkara ini tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

47 rakyat Malaysia di Kemboja dijangka balik mulai esok

47 tahanan warga Malaysia dibebaskan

Mengenai berita bahawa rakyat Malaysia yang dibebaskan itu, termasuk 40 orang dari Sarawak akan pulang ke tanah air esok, Sng berkata, seorang wakil dikenali sebagai Mohd Azra, yang juga rakan keluarga seorang daripada rakyat Malaysia yang ditahan itu, berlepas ke Siem Reap, Kemboja, awal hari ini untuk membantu menyelaraskan urusan penerbangan.

Beliau berkata, beberapa masalah teknikal perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum sebahagian besar daripada kumpulan rakyat Malaysia itu dapat meninggalkan Kemboja, tertakluk kepada jumlah tempat duduk yang ada dalam penerbangan disediakan AirAsia.

Artikel Berkaitan:

AirAsia akan turut menyediakan penerbangan bagi kumpulan berkenaan yang berasal dari Sarawak untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, dan menurut Sng, beliau amat berterima kasih kepada pihak berkuasa Kemboja atas kerjasama itu.

Sng berkata, kerajaan Sarawak berhati mulia dengan begitu mengambil berat tentang perkara itu, dan menghantar delegasi khas untuk berjumpa 47 rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara Banteay Meanchey.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hafsah Harun dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan kerana pembabitan mereka selain orang ramai yang prihatin serta sentiasa mendoakan pembebasan awal kumpulan berkenaan.

Sng turut merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan kerana tindakan segera mereka dalam perkara itu, selain media tempatan serta antarabangsa.

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan itu dibawa ke sebuah hotel di bandar Banteay Meanchey sementara menunggu dihantar pulang ke tanah air dan mereka dibebaskan tanpa dikenakan sebarang pertuduhan jenayah berikutan restu daripada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen. - Bernama