47 rakyat Malaysia di Kemboja dijangka balik mulai esok

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seramai 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja kini dibebaskan dan dijangka pulang ke Malaysia esok.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tumpuan utama kerajaan pada masa ini diberikan kepada usaha membawa pulang kesemua dengan segera dan selamat.

"Proses membawa mereka pulang mengalami sedikit kesulitan apabila ada antara mereka yang pasportnya diambil pihak tertentu jadi, bagi tujuan membawa balik menggunakan penerbangan kapal terbang, Kementerian Luar mengeluarkan sijil khas.

“Pagi tadi, sepatutnya 38 kerusi penerbangan AirAsia yang ditaja syarikat tersebut kita gunakan untuk membawa sebahagian daripada mereka balik manakala bakinya penerbangan esok pagi dan petangi,” katanya selepas merasmikan Dewan Terbuka Jubli Emas dan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar kali ke-42 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, penerbangan pagi tadi terlepas disebabkan beberapa isu termasuk logistik manakala penerbangan esok pagi dan petang pula hanya ada kira-kira 20 kerusi.

"Kerusi tidak cukup, tapi saya sudah arahkan pegawai untuk lihat peluang lain termasuk penerbangan balik pada Isnin ini,” katanya.

Saifuddin berkata, kerajaan Kemboja memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka 47 orang yang ditahan termasuk 44 anak muda Sarawak.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pegawai Kementerian luar Negeri yang dihantar khas ke sana untuk menyelesaikan kes ini juga kerajaan negeri Sarawak yang menghantar pegawai mereka ke sana. Begitu juga kepada Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien banyak membantu dalam usaha membebaskan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih juga diucapkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak,” katanya.

Wei Shien dilaporkan berkata, kesemua ditahan berusia 19 hingga 44 tahun gara-gara termakan taktik licik sindiket yang menjadikan keluarga miskin luar bandar sebagai sasaran utama.

Mereka terdiri daripada etnik Melayu, Melanau dan Iban yang dibebaskan lewat petang Jumaat selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kesemua rakyat Malaysia tersebut ditahan sejak 11 Disember lalu selepas diumpan dengan janji manis gaji lumayan dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia.

ARTIKEL BERKAITAN:

Wisma Putra urus proses bawa pulang 47 warga Malaysia

Serah pada kerajaan rundingan pembebasan 47 rakyat Malaysia

Terima kasih Kemboja: TPM