Acara keramaian, aktiviti sosial punca kes meningkat di Sarawak

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Acara keramaian dan aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan merupakan faktor peningkatan kes yang tinggi di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes di negeri itu disebabkan oleh pertambahan kluster di kalangan komuniti termasuklah rumah panjang.

"Pada hari ini sahaja, Sarawak melaporkan dua kluster komuniti yang baharu iaitu Kluster Sungai Gemuan dan Kluster Disso," katanya.

Menurutnya, Kluster Sungai Gemuan dikenalpasti di Meradong selepas kes indeks dilaporkan positif pada 28 Mac hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga Jumaat, 260 telah disaring dan 39 didapati positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, Kluster Disso dikesan di Saratok apabila kes indeks didapati positif pada 31 Mac.

"Sehingga kini, 24 kes dikesan positif selepas 208 individu disaring," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kluster berkenaan antara tujuh yang dikenalpasti membabitkan empat kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Kluster tempat kerja adalah Jalan Kluang Satu (Pulau Pinang), Jalan Sultan Ismail (Johor) dan Batu Lima Jalan Sibuga (Sabah) serta Taman Bukit Pantai (Kuala Lumpur, Selangor).

"Sementara Sim-Sim (Sabah) merupakan kluster komuniti selain daripada Sungai Gemuan dan Disso," katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 1,442 kluster dikenalpasti sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, 1,100 telah tamat dan 342 kluster aktif," katanya.

Orang ramai dinasihati agar terus patuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S dan amalkan 3W.