Terpengaruh iklan kerja kosong di media sosial punca rakyat Malaysia terperangkap

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KULIM - Terpengaruh dengan iklan kerja kosong melalui platform media sosial yang menawarkan gaji lumayan serta manfaat lain di luar negara menjadi antara faktor terdapat rakyat Malaysia yang pergi bekerja di negara terbabit sehingga 'terperangkap' di sana.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ahli keluarga atau ibu bapa mereka akan melaporkan kepada pihak polis berhubung kehilangan anak mereka atau meminta bantuan supaya anak mereka diselamatkan setelah mangsa berada di luar negara.

"Puncanya adalah terpengaruh dengan kempen dalam media sosial di mana mereka ditawarkan bekerja di luar negara dengan upah lumayan, tempat tinggal selesa, tambang kapal terbang diberikan dan segala macam.

"Apabila mereka telah sampai ke sana (ke negara terbabit) dapati keadaan mereka lalui tak sama seperti mereka diberitahu, jadi daripada situlah kemudiannya ada yang sempat menghubungi pihak polis," katanya kepada pemberita dekat sini pada Ahad.

Semalam Bernama melaporkan ibu kepada Chong Sum Yee, 22, wanita Malaysia yang disyaki hilang di Chiang Mai, Thailand tidak mempercayai video anaknya itu mendakwa dirinya selamat dan sihat.

Ibu wanita itu Chee Choy Won, 50, dipetik sebagai berkata, ini kerana akaun Facebook yang menggunakan nama "Moe Aye” yang memuat naik rakaman video anaknya berkenaan tidak dikenali dan dipercayai ia adalah akaun baharu dibuat.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat tentang kes kehilangan wanita itu dan setakat ini beliau belum menerima maklumat perkembangan semasa mengenai kes berkenaan.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah melawat tapak projek menggantikan jambatan di kawasan Kampung Sungai Ular dekat sini.

Saifuddin Nasution berkata, projek menggantikan jambatan itu melibatkan kos sebanyak RM9.3 juta dan dijangkakan siap pada Oktober 2024 yang sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan itu serta melancarkan lagi aliran trafik. - Bernama.