LPP pacu hasil pertanian

Ronald (dua dari kiri) melancarkan program Peladang Outlet di Kluang pada Khamis.
Ronald (dua dari kiri) melancarkan program Peladang Outlet di Kluang pada Khamis.
A
A
A

KLUANG - Penjenamaan semula Peladang Outlet membantu merancakkan lagi aktiviti pemasaran produk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selari dengan kepesatan teknologi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, menjadi keperluan kepada LPP untuk menjenamakan semula saluran pemasaran di bawah satu jenama agar ia mudah dikenali, dipercayai dan diyakini.

“Pelancaran Peladang Outlet akan dapat membantu kumpulan petani memasarkan hasil pertanian mereka tanpa dipengaruhi oleh orang tengah. Bimbingan daripada LPP bukan sahaja dari segi penanaman tetapi turut membantu pemasaran dalam rantaian agromakanan keseluruhannya.

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

“Kementerian amat prihatin terhadap petani, penternak dan nelayan dengan mengadakan pelbagai program bagi memastikan frontliner dalam industri tani dan makanan ini terus terjaga selain pendapatan mereka akan terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Peladang Outlet (PO) Peringkat Kebangsaan di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi LPP, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, Peladang Outlet juga dapat mengekalkan keseragaman aktiviti pemasaran Pertubuhan Peladang melalui satu jenama yang merangkumi pelbagai aspek pemasaran termasuk sistem, kedai dan produk peladang.

Artikel Berkaitan:

Ronald meninjau pusat pengumpulan hasil pertanian (PPHP), Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang pada Khamis.
Ronald meninjau pusat pengumpulan hasil pertanian (PPHP), Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang pada Khamis.

“Peladang Outlet mampu berdaya saing dan setanding dengan jenama-jenama lain yang berada di pasaran seiring dengan keperluan pengguna yang sentiasa berubah-berubah.

“Pada masa sama, untuk mempromosikan hasil-hasil keluaran Pertubuhan Peladang dan ahli yang dipasarkan di pasaran setempat dengan menggunakan jenama Peladang Outlet,” katanya.

Tambahnya lagi, penggunaan jenama Peladang Outlet melibatkan semua aktiviti pemasaran di Pertubuhan Peladang akan memberi nilai tambah dalam aktiviti pemasaran yang dilakukan.

“Kekuatan jenama yang mewakili seluruh Pertubuhan Peladang merupakan satu dimensi baharu yang perlu diambil bagi memperkukuhkan jenama Pertubuhan Peladang agar mampu bersaing dan menjadi peneraju kepada aktiviti pemasaran,” katanya.

Pada majlis sama, Ronald turut menyampaikan 22 buah lori sejuk beku kepada Pertubuhan Peladang seluruh negara melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat melibatkan peruntukan RM3.4 juta di bawah Dana Khas Agromakanan Pertubuhan Peladang (Mobilisasi dan Logistik).

Ronald (tiga dari kanan) menyampaikan simbolik kunci untuk 22 buah lori sejuk beku kepada Pertubuhan Peladang seluruh negara.
Ronald (tiga dari kanan) menyampaikan simbolik kunci untuk 22 buah lori sejuk beku kepada Pertubuhan Peladang seluruh negara.

Turut disampaikan, peruntukan Projek Pertanian Organik di bawah kendalian LPP Negeri Johor bernilai RM 3.2 juta dan peruntukan modal pusingan bagi kumpulan wang pinjaman Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang bernilai RM400,000.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) yang dimulakan sejak tahun 2015 itu bertujuan memastikan aktiviti pengeluaran makanan oleh Pertubuhan Peladang dapat dipasarkan pada harga yang kompetitif seterusnya mengurangkan manipulasi harga oleh ‘orang tengah’.

“Bagi meningkatkan keupayaan PPHL ini, LPP telah diberikan tanggungjawab untuk mewujudkan 200 PPHL di seluruh negara dengan nilai peruntukan khas berjumlah RM21 juta.

“Sehingga kini, PPHL telah berjaya melakukan urus niaga yang bernilai lebih RM53 juta dengan melibatkan 5,338 pengeluar dan 241,919 pelanggan,” katanya.

Ronald (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai hasil pertanian.
Ronald (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai hasil pertanian.