e-Negarawan selari dengan Dasar Perpaduan Negara

Aaron (tengah) menyaksikan Arkib Memorial yang terlibat dalam e-Negarawan.
Aaron (tengah) menyaksikan Arkib Memorial yang terlibat dalam e-Negarawan.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelaksanaan Eksplorasi Negarawan ataupun e-Negarawan dibangunkan Arkib Negara Malaysia selari dengan Dasar Perpaduan Negara melalui Teras Perpaduan 1 iaitu Patriotisme dan Demokrasi.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia sejajar dasar digariskan Kementerian Perpaduan Negara bagi meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kefahaman rakyat berkaitan sejarah Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Beliau berkata, program ini juga dapat memperkukuhkan integrasi nasional sebagai medium ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

"Walaupun begitu, bukan bermaksud kita tidak menggalakkan orang ramai datang melawat secara fizikal.

"Sebaliknya,ia memberikan peluang dan kesempatan kepada semua lapisan masyarakat seperti masyarakat luar bandar sukar berkunjung, masyarakat kota sering kesibukan, pelajar, penyelidik dan sesiapa sahaja untuk menikmati lawatan secara interaktif dan berinformasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Galeri Maya eNegarawan #klikdijari di Auditorium Arkib Negara Malaysia Negeri Kedah/Perlis pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Kedah/Perlis, Abdul Jabar Mohamad Ridi.

Beliau berkata, ia bertepatan dengan strategi pemboleh daya Malaysia Madani iaitu memastikan impak Malaysia Madani dirasai rakyat secara langsung melalui 'mendigitalkan perkhidmatan rakyat' yang turut menggalakkan penggunaan teknologi dan internet secara positif dan progresif.

Menurut beliau, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyokong usaha dilaksanakan jabatan dan agensi seperti mana dilaksanakan Arkib Negara Malaysia bagi memastikan matlamat dalam membentuk perpaduan dan meningkatkan rasa cinta terhadap negara terus konsisten.

"Ia merangkumi bangsa Malaysia patriotik, demokratik dan berkeperibadian tinggi seterusnya membangunkan identiti nasional mempunyai cita-cita sepunya dan mengukuhkan ekosistem perpaduan negara,"katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, e-Negarawan berkonsepkan lawatan secara maya bagi menyebar luas maklumat dan pemahaman mengenai tokoh negarawan di Malaysia.

"10 Arkib Memorial terlibat dalam projek ini iaitu Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Pustaka Peringatan P Ramlee, Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad dan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

"Selain itu, Rumah Kelahiran P Ramlee, Rumah Merdeka, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba dan Memorial Negarawan," katanya.

Beliau menambah, kesemua memorial tersebut menyimpan bahan-bahan arkib berkaitan dengan 12 tokoh negarawan daripada pelbagai kaum dan agama.

"Selain itu, terdapat juga sebuah memorial khusus untuk memperingati peristiwa bersejarah negara iaitu Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak di negeri Melaka.

"Keunikan Arkib Memorial diperkukuhkan dengan elemen sejarah perjuangan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia dalam pembentukan negara bangsa melalui keperibadian serta personaliti tokoh-tokoh yang terlibat," katanya.

Beliau menyifatkan, pelancaran e-Negarawan adalah selari dengan inisiatif 'Ini Warisan Kita' dibawa Kementerian Perpaduan Negara bagi menyemai, memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan melalui rasa cinta kepada negara.

Aaron berkata, platform lawatan maya sebegini seiring dengan perkembangan dan penggunaan teknologi digital masa kini bukan sahaja dapat menarik minat golongan muda, malah mampu memperkasakan konsep kebudayaan pintar dan ekosistem pelancongan negara.

Menurut beliau, pengunjung tempatan dan antarabangsa boleh menyusuri galeri maya itu secara percuma melalui #klikdijari, imbasan kod respon pantas (QR Code), media sosial rasmi Arkib Negara Malaysia atau laman sesawang di www.arkib.gov.my.