Penjenamaan semula AKSB, dengar boleh percaya jangan - Zawawi

Zawawi
Zawawi
A
A
A

KOTA BHARU - "Dengar boleh, percaya jangan." Itu reaksi Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman ketika diminta mengulas tawaran 18 yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional (PN) Kelantan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini mahu menjenamakan semula Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam usaha memulihkan bekalan itu.

Beliau berkata, penjenamaan itu sepatutnya dilakukan sejak tiga tahun lalu dan pengumuman tersebut dilihat lebih kepada 'gula-gula' PRN.

"Begitu juga dengan tawaran bantuan pemasangan paip AKSB kali pertama kepada golongan B40. Cadangan itu bagus, tapi kalau air tak ada? tiada gunanya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Zawawi, rakyat sudah sedar Pas acap kali gagal menunaikan segala janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.

Beliau yakin dan percaya rakyat sudah bijak untuk membuat penilaian berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PN Kelantan memperkenalkan 18 manifesto melibatkan 96 program untuk kemajuan semua peringkat rakyat.

Pengerusi PN negeri Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, manifesto berkenaan akan dikenali sebagai program kerana dianggap sesuai dengan perubahan masa.

Beliau berkata, melalui program itu, antara perkara yang ditawarkan kepada rakyat termasuk kepentingan sosioekonomi, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan sumber manusia.