MARDI, Maybank kerjasama pacu inovasi pertanian bandar

Mohamad Zabawi dan Nora bersama dokumen MoU perjanjian kerjasama bagi memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam pertanian bandar di Akademi Maybank di Bangi, Selangor.
Mohamad Zabawi dan Nora bersama dokumen MoU perjanjian kerjasama bagi memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam pertanian bandar di Akademi Maybank di Bangi, Selangor.
A
A
A

INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Maybank menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha untuk memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam sektor pertanian bandar.

Menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, kerjasama dengan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf itu bertujuan menjalinkan perkongsian dalam melaksanakan latihan dan membangunkan modul yang komprehensif serta terkini mengenai pertanian bandar.

“Perjanjian ini juga berfungsi mengintegrasikan sistem pengetahuan dalam inisiatif pertanian bandar melalui perkongsian data dan maklumat, pengajaran yang diperoleh, amalan terbaik serta memacu aktiviti pertanian bandar untuk masyarakat yang lebih luas.

“Selain itu, ia membuka peluang untuk meneroka program atau projek yang berpotensi, memberi manfaat kepada masyarakat serta melaksanakan pemindahan teknologi pertanian bandar dan aplikasi infrastruktur hijau daripada MARDI kepada Maybank dan komunitinya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, kerjasama itu bakal memberi pendedahan atau manfaat kepada kakitangan Maybank khususnya kepada yang berminat dalam bidang pertanian dan keusahawanan.

Mohamad Zabawi dan Nora memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam pertanian bandar di Akademi Maybank di Bangi, Selangor.
Mohamad Zabawi dan Nora memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam pertanian bandar di Akademi Maybank di Bangi, Selangor.

Ujarnya, program tersebut menyediakan kursus, latihan, bimbingan penyelidik yang bertauliah dan berpengalaman serta peluang menyediakan rancangan perniagaan.

“Di samping itu, kerjasama ini juga diharap dapat mempercepatkan penggunaan teknologi pertanian berinovasi secara terus kepada usahawan muda di Malaysia khususnya kakitangan Maybank,” ujarnya.

Sementara itu, Nora berkata, jalinan kerjasama itu membantu dalam aspek menangani keselamatan dan keterjaminan makanan, memacu pembangunan mampan serta memupuk perubahan positif dalam masyarakat.

Beliau amat berbesar hati bekerjasama dengan MARDI yang telah memainkan peranan penting dalam membantu Maybank melaksanakan inisiatif pertanian bandar sejak 2016.