Kadar zakat fitrah di Pahang kekal RM7

Ahmad Hairi (dua dari kiri) menunjukkan resit zakat fitrah yang dikeluarkan MUIP kepada pembayar tahun ini.
Ahmad Hairi (dua dari kiri) menunjukkan resit zakat fitrah yang dikeluarkan MUIP kepada pembayar tahun ini.
A
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] Kadar zakat fitrah bagi negeri Pahang tahun ini kekal RM7 sebagaimana diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu kekal sejak 2013.

Menurutnya, tahun ini kaedah bayaran zakat fitrah melalui amil yang mana seramai 942 amil telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan.

"Kaedah bayaran ini tertakluk prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara yang digariskan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

"Bagaimanapun, pihak MUIP menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian melalui platform ezakat.muip.gov.my dan PahangGo," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2021 di Pejabat MUIP di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi b Abd Rahman.

Ahmad Hairi berkata, mana-mana pihak yang didapati memungut zakat fitrah tanpa kebenaran MUIP boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah beliau, bagi membendung penularan pandemik Covid-19 beberapa garis panduan ditetapkan untuk pembayaran melalui amil di kaunter bayaran yang dibuka.

"Antaranya, tiada lafaz akad dan bersalaman, hanya doa ringkas dibenarkan, mengamalkan SOP sedia ada termasuk penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Individu bergejala tidak dibenarkan hadir dan pembayar diminta menyediakan wang secukupnya mengikut jumlah yang perlu dibayar.

"Kaunter bayaran hanya boleh dibuka di masjid, surau dan tempat dibenarkan manakala bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pembukaan kaunter zakat fitrah tidak dibenarkan," katanya.

Ahmad Hairi berkata, untuk rekod, jumlah pembayar zakat fitrah bagi tahun 2018 seramai 1,024,007 orang dengan jumlah kutipan RM6.2 juta.

"Pada 2019, jumlah pembayar dan jumlah kutipan meningkat kepada 1,040,549 orang (RM6.3 juta) manakala tahun lalu, bilangan pembayar, 1,012,073 (RM6.1 juta).

"Tahun lalu, bilangan bayaran melalui kaedah dalam talian cukup tinggi iaitu seramai 688,587 orang berbanding melalui amil hanya 323,426 orang ekoran penularan pandemik Covid-19," katanya.