Maritim berkas lelaki Indonesia seludup syabu RM40,000

Seorang lelaki Indonesia yang dipercayai cuba menyeludup dadah dicekup Maritim Selangor di pantai Tongkah pada Selasa.
Seorang lelaki Indonesia yang dipercayai cuba menyeludup dadah dicekup Maritim Selangor di pantai Tongkah pada Selasa.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Selangor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah bernilai RM40,000 di pesisiran pantai Tongkah, dekat sini awal pagi Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, rampasan dibuat ketika anggota penguat kuasa Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan Op Ehsan di sepanjang perairan Banting dan telah mengesan sebuah bot fiber yang berada di pesisir pantai Tongkah dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihaknya, bot tersebut terus memecut laju meninggalkan lokasi dan dua lagi suspek yang belum sempat menaiki bot cuba meloloskan diri ke kawasan paya bakau, namun seorang daripada suspek berjaya diberkas.

"Pemeriksaan ke atas suspek lelaki warga Indonesia itu menemukan satu paket bungkusan berwarna hijau yang disyaki dadah jenis syabu.

"Dianggar dadah seberat kira-kira satu kilogram (kg) itu bernilai RM40,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun itu telah disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Tegas Mohd Rosli, pihaknya memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

"Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: