164,511 pelajar sekolah menengah di Perak mula bersekolah

Pelajar SMK Anderson mematuhi SOP ditetapkan apabila memulakan sesi persekolahan bermula pada Isnin.
Pelajar SMK Anderson mematuhi SOP ditetapkan apabila memulakan sesi persekolahan bermula pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Seramai 164,511 pelajar sekolah menengah di Perak memulakan sesi persekolahan pertama pada Isnin selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Operasi pembukaan semula sesi persekolahan tersebut dibuat dalam keadaan norma baharu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, jumlah tersebut membabitkan 250 sekolah menengah di negeri ini.

"Semua sekolah telah bersedia dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Garis Panduan Pengurusan Semula Sekolah 2.0. Hari ini 250 buah sekolah menengah mula beroperasi dengan jumlah murid seramai 164,511 orang.

"Tahap pematuhan pelajar terhadap SOP sangat baik. Kesediaan pelajar datang ke sekolah untuk belajar sangat tinggi pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Perak sentiasa memastikan semua sekolah menengah dan rendah di negeri Perak sejumlah 1,102 buah dapat beroperasi sepenuhnya pada Isnin.

Sementara itu tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson dan SMK Jati, di sini mendapati semua pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan.

Seawal jam 6.30 pagi, pelajar mula tiba di sekolah dan masuk ke dalam pekarangan sekolah secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Setiap pelajar memakai pelitup muka dan diperiksa suhu sebelum dibenarkan masuk ke kelas masing-masing.

Terdapat khemah khas disediakan berserta kerusi untuk pelajar menunggu giliran untuk diperiksa suhu.

Selain itu, laluan masuk khas turut disediakan oleh pihak sekolah bagi memudahkan kawalan pematuhan SOP dibuat.