ASEAN berdepan dilema

No Image Caption
A
A
A

ASEAN terpaksa berdepan dilema akibat perkembangan politik di Myanmar. Pemimpin ASEAN perlu memilih sama ada untuk meneruskan dasar tidak campur tangan dalam politik dalaman negara ahli atau tidak.

Sejak tentera Myanmar merampas kuasa dan mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, tunjuk perasaan besar-besaran secara aman telah diadakan di seluruh negara.

Pihak tentera telah bertindak balas dengan menyerang penunjuk perasaan. Menurut laporan rasmi, kerajaan tentera Myanmar sehingga 26 Mac, seramai 164 penunjuk perasaan terbunuh. Namun berdasarkan data oleh Persa-tuan Bantuan untuk Tahanan Politik, lebih 300 orang kehilangan nyawa.

Jika tragedi pertumpahan darah terus berlaku di Myanmar, kestabilan negara anggota dan reputasi ASEAN akan turut terjejas atas beberapa sebab. Pertama, pergolakan politik di Myanmar menyebabkan pertambahan mangsa pelarian di negara-negara jiran seperti Thailand dan India.

Berdasarkan laporan International Commission of Jurists ketika rampasan kuasa dan penunjuk perasaan diserang oleh tentera pada 1988, ia mengakibatkan 360,000 pelarian Myanmar memasuki negara jiran iaitu Thailand, India, Bangladesh, China dan Malaysia.

Masalah sama dijangka timbul sekarang kerana tentera Myanmar tidak menunjukkan belas kasihan ketika berhadapan penunjuk perasaan dengan melepaskan tembakan dan menangkap sesiapa terlibat.

Kedua, imej ASEAN sebagai satu-satunya pertubuhan serantau di Asia Tenggara tercemar kerana tidak berupaya menegakkan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012, khasnya Artikel 11, 12 dan 14 yang menjamin hak nyawa dan keselamatan serta kebebasan daripada penangkapan sewenang-wenangnya dan penyeksaan.

Sudah banyak kritikan daripada masyarakat antarabangsa terhadap ASEAN bahawa ia gagal untuk mempertahankan hak asasi manusia sebagaimana termaktub dalam Piagam ASEAN Artikel 1, Nombor 7 iaitu untuk memperkukuhkan demokrasi dan melindungi hak asasi manusia serta kebebasan.

Artikel Berkaitan:

Ketiga, cabaran diplomatik bagi ASEAN sekiranya negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun dan New Zealand enggan menyertai Persidangan Kemuncak Asia Timur atau East Asia Summit dan ASEAN Summit kerana tidak mahu berkongsi semeja dengan perwakilan dari Myanmar sebagai tanda protes.

Keempat, negara anggota ASEAN tidak bersatu padu dalam menghadapi isu rampasan kuasa dan pergolakan politik Myanmar.

Antara negara yang telah menunjukkan keprihatinan dan menegur tindakan pemerintahan tentera Myanmar ialah Malaysia dan Indonesia.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyampaikan perasaan dukacita dan takziah kepada warga Myanmar atas keganasan dilakukan terhadap orang awam tidak bersenjata.

Beliau juga menggesa pemimpin sivil seperti Aung San Suu Kyi dibebaskan. Presiden Indonesia, Joko Widodo menggesa agar segera menghentikan keganasan dan mengumumkan bahawa beliau bersama Brunei, selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu Myanmar.

Namun, bukan semua negara anggota ASEAN mempunyai pendirian sama, misalnya Thailand yang kerajaannya kini berkuasa akibat rampa-san kuasa pada 2014.

Thailand cuba mengelak daripada mengkritik apa yang berlaku di Myanmar. Kemboja dan Vietnam turut mempunyai pendirian sama.

Negara-negara ASEAN harus bersatu dalam menghadapi isu rampasan kuasa tentera dan penindasan hak asasi manusia di Myanmar demi kestabilan rantau Asia Tenggara.

Ia bukan lagi isu politik antara tentera Myanmar lawan parti National League for Democracy (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi tetapi isu kemanusiaan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya