Ibu tunggal OKU bergantung bantuan JKM tampung hidup

Nazir Hussin menyerahkan sumbangan kepada penerima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang anjuran Kelab Permotoran Desmo Owners Club Malaysia (DOCM) pada Sabtu.
Nazir Hussin menyerahkan sumbangan kepada penerima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang anjuran Kelab Permotoran Desmo Owners Club Malaysia (DOCM) pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang ibu tunggal orang kurang upaya (OKU) hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 yang diterima setiap bulan dan daripada anaknya bagi menampung keperluan hidup seharian.

Hajimah Saad, 70, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang bersih pejabat, hilang mata pencarian selepas terlibat dalam satu kemalangan langgar lari ketika balik dari tempat kerja.

Menurut Hajimah, bantuan yang diterima kini kurang berbanding ketika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

“Dulu sebelum PKP, ramai orang hulur sumbangan, tapi sekarang mungkin yang bagi bantuan turut terkesan akibat Covid-19 malah anak pun sama.

“Kalau ada bantuan yang diberikan sekarang, memang sangat bersyukur, lagi-lagi dah nak dekat bulan Ramadan,” katanya selepas menerima sumbangan Dana Permai Relief Fund 2021 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang anjuran Kelab Permotoran Desmo Owners Club Malaysia (DOCM), di sini pada Sabtu.

Hajimah Saad
Hajimah Saad

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi DOCM, Ainul Hasri Shah Abu Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Tititiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Seramai 150 orang ibu tunggal menerima bantuan beras, tepung gandum, telur dan bahan makanan kering.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ainul Hasri Shah berkata, sumbangan ini merupakan yang kedua buat DOCM selepas membantu golongan asnaf dan ibu tunggal di Masjid Subang Perdana di Shah Alam pada pagi Sabtu.

Ujarnya, selepas ini DOCM akan menjelajah satu Malaysia bagi memberi sumbangan terutamanya kepada golongan B40, asnaf dan ibu tunggal.

“Insya-ALLAH selepas ini kita akan pergi ke Perak dan Johor pada 8 dan 9 April sebelum meneruskan perjalanan ke seluruh negeri di Malaysia bagi menyampaikan bantuan.

“DOCM mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah memberi kebenaran kepada Permai Relief Fund untuk mengagihkan bantuan kepada golongan B40, asnaf dan ibu tunggal yang disokong oleh Telekom Malaysia,” katanya.