Mangsa bot karam diserah kepada kedutaan Vietnam

Muhd Nur Syam Asmawie (dua dari kanan) menyerahkan kesemua empat nelayan yang selamat kepada pihak kedutaan Vietnam di pengkalan Maritim Malaysia Tok Bali, Pasir Puteh.
Muhd Nur Syam Asmawie (dua dari kanan) menyerahkan kesemua empat nelayan yang selamat kepada pihak kedutaan Vietnam di pengkalan Maritim Malaysia Tok Bali, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menyerahkan empat nelayan Vietnam yang terlibat dalam kejadian bot karam di Pulau Nam Du baru-baru ini kepada pihak kedutaan negara berkenaan.

Kesemua nelayan yang selamat itu diserahkan kepada pihak kedutaan Vietnam di pengkalan Maritim Malaysia Tok Bali, di sini pada Jumaat mengikut prosedur operasi standard (SOP) berhubung pencegahan pandemik Covid-19.

Empat nelayan itu ialah Le Hoang Ee, Nguyen Hau Binh, Le Van Cuong dan Cao Van Quang yang berusia antara 20 hingga 47 tahun.

Kesemua mereka dihanyutkan sehingga ke perairan Malaysia apabila bot yang dinaiki dipukul ombak dan karam berhampiran Pulau Nam Du, Vietnam lebih seminggu lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kesemua nelayan Vietnam itu diselamatkan oleh kapal pelantar Express 93 dan kapal Express 81 pada Sabtu serta Ahad lalu.

"Maritim Malaysia Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada kru kedua-dua buah kapal yang telah membantu menyelamatkan kesemua mangsa ini seterusnya menghubungi pihak kami," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sikap cakna itu memperlihatkan sifat kemanusiaan tinggi dalam kalangan para pelaut tempatan.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, hasil siasatan yang dilakukan ke atas empat nelayan itu mereka mengakui terdapat seorang lagi mangsa masih hilang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayat yang ditemui berhampiran kawasan pelantar minyak baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan insiden bot karam itu.

"Hal ini berpandukan kepada pengecaman yang dilakukan oleh kesemua mangsa terlibat," katanya.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, jenazah itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: Mayat nelayan Vietnam ditemui