Bot karam: Mayat nelayan Vietnam ditemui

Anggota Maritim Malaysia berusaha mengambil mayat nelayan Vietnam yang ditemui terapung oleh pekerja kapal pelantar minyak Express 81 pada jarak 101.7 batu nautika dari muara Tok Bali.
Anggota Maritim Malaysia berusaha mengambil mayat nelayan Vietnam yang ditemui terapung oleh pekerja kapal pelantar minyak Express 81 pada jarak 101.7 batu nautika dari muara Tok Bali.
A
A
A

PASIR PUTEH - Mayat seorang nelayan Vietnam ditemui terapung di kawasan perairan Malaysia-Thailand pada Selasa oleh pekerja kapal pelantar minyak Express 81 pada jarak 101.7 batu nautika dari muara Tok Bali.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.

"Sejurus menerima panggilan, kita telah gerakkan Kapal Maritim (KM) Amanah untuk melaksanakan misi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, semasa ketibaan KM Amanah mayat nelayan itu telah dihanyutkan sejauh lebih kurang empat batu nautika dari lokasi asal penemuan.

Beliau berkata, bagaimanapun kapal pelantar minyak Express 81 membantu memastikan mayat itu tidak hilang.

Nur Syam Asmawie berkata, menurut maklumat kru kapal, mayat tersebut dijumpai sekitar jam 9.45 pagi.

Katanya, proses membawa balik mayat nelayan itu sedang berjalan.

"Kita jangka mayat ini akan tiba pada jam 8.30 malam ini dan akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pengecaman terhadap mayat akan dilakukan oleh keempat-empat mangsa yang terselamat," katanya.

Nur Syam Asmawie berkata, sekiranya mayat disahkan sebagai rakan nelayan Vietnam, Maritim Malaysia akan memaklumkan kepada kedutaan Vietnam di negara ini.

Sebelum itu mangsa dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki sekumpulan nelayan karam akibat dipukul ribut.