Kedah catat rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah berjaya mencatat rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai sebanyak RM816 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu merupakan bukti komitmen serta kesungguhan seluruh jentera pentadbiran negeri dalam melaksanakan dan menjayakan dasar kerajaan.
"Sebelum melanjutkan ucapan pagi ini, dengan penuh rasa syukur dan tawaduk, saya ingin menyampaikan satu berita baik bahawa pada tahun 2025, kerajaan negeri telah berjaya mencatat rekod kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai sebanyak RM816 juta.
"Kutipan ini melebihi anggaran hasil tahun 2025 sebanyak RM790 juta, bersamaan dengan 103 peratus daripada sasaran yang ditetapkan," katanya sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah 2026 di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, lebih membanggakan, pencapaian kutipan hasil 100 peratus tersebut telah berjaya direalisasikan dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2024 dan 2025.
"Untuk itu, setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua penjawat awam negeri Kedah... menjadi harapan kita agar kejayaan ini dapat diteruskan lagi pada tahun 2026 dan tahun-tahun seterusnya.
"Alhamdulillah, kita juga dapat melihat trend peningkatan hasil negeri dari tahun ke tahun. Pada tahun 2023, jumlah hasil yang dikutip ialah sebanyak RM629 juta, meningkat kepada RM769 juta pada tahun 2024, dan seterusnya mencapai RM816 juta pada tahun 2025," jelasnya.
Beliau dalam masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSAN), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan lain-lain yang memberikan sumbangan besar kepada Kerajaan Negeri melalui keuntungan yang diperoleh.
"Selain itu, kerajaan negeri juga berjaya mencatatkan lebihan sebanyak RM48 juta, hasil daripada perbandingan antara kutipan hasil dan perbelanjaan.
"Jumlah lebihan yang tinggi menunjukkan kecekapan dan ketelusan kerajaan negeri menguruskan perbelanjaan mengikut perancangan yang ditetapkan. Alhamdulillah," jelas beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Kedah mencatat rekod kutipan hasil tertinggi RM816 juta dalam 25 tahun
- Pencapaian ini melebihi anggaran hasil tahun 2025 sebanyak RM790 juta
- Kutipan hasil 100 peratus direalisasikan dua tahun berturut-turut pada tahun 2024 dan 2025
- Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan atas sumbangan
- Kerajaan negeri mencatatkan lebihan RM48 juta, menunjukkan kecekapan menguruskan perbelanjaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

