Projek TAPS: Pulau Pinang beri amaran kepada Kedah

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan menghentikan projek di Kedah serta-merta sekiranya ia mengancam bekalan air di negeri ini dan memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan melaksanakan beberapa langkah dalam menghentikan projek yang merugikan itu antaranya mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Persekutuan dan mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen.

Menurutnya, Pulau Pinang juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan injunksi mahkamah dalam menghentikan projek itu.

"Pulau Pinang akan terus mematuhi undang-undang dalam abstraksi air mentah dari Sungai Muda tanpa pembayaran kepada Kedah.

"Oleh itu, Kedah juga mesti mematuhi undang-undang negeri dan negara dalam melaksanakan projek yang melibatkan Sungai Muda," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sejak 1973, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar Kedah.

Selain itu, katanya, Pulau Pinang juga tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, memorandum persefahaman (MoU) atau kontrak bagi tujuan tersebut.

"Sekiranya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.

"Jika projek itu memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak untuk menghentikannya serta-merta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, jika projek tersebut menimbulkan penderitaan bagi penduduk dan menyebabkan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, kerajaan negeri akan menyaman Muhammad Sanusi untuk kos dan kerosakan.

"Mengikut undang-undang negeri dan Persekutuan, sebarang projek 'baharu' Sungai Muda di Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang, mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan. Projek sedemikian tidak boleh memberi kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.776 juta orang di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Semua skim berkaitan air yang dicadangkan Muhammad Sanusi juga tertakluk kepada kelulusan oleh kerajaan Persekutuan. Mungkin Kedah juga memerlukan dana Persekutuan dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air," katanya.

Kon Yeow berkata, secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan.

"Kedah boleh mencadangkan tetapi kerajaan Persekutuan atau undang-undang negara boleh melupuskannya. Kerajaan Pulau Pinang akan terus melindungi kepentingan negeri ini iaitu jaminan bekalan air.

"Kita akan terus menegakkan hak riparian Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah tanpa caj dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri kita. Kita yakin Kedah tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk menuntut sebarang pembayaran. Di atas sebab itu, kita bersedia untuk berjumpa mereka di mahkamah," katanya.

Kedah mengumumkan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang menakung lebihan air di Sungai Muda dan mula dibangunkan tahun ini.

Projek yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) itu bertujuan meningkatkan bekalan air di Kedah dan menstabilkan paras air di sungai tersebut ketika musim kemarau.

Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 14 takungan besar sedalam 20 hingga 30 meter (m) dengan lebar satu kilometer (km) akan dibangunkan untuk menakung air Sungai Muda menerusi TAPS.

Sehubungan itu, beliau berharap Pulau Pinang bersedia dengan keadaan berkenaan memandangkan Kedah akan melaksanakan projek tersebut tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:TAPS bantu tingkat bekalan air, stabil paras air sungai