X

Kindly register in order to view this article
!

Isu air: Pulau Pinang mohon campur tangan kementerian

Kon Yeow menanam anak pokok ketika menyempurnakan Program Gotong-Royong Perdana Sempena Sambutan Air Sedunia 2021 Peringkat Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) campur tangan dalam perdebatan isu air di antara negeri ini dan Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya memohon supaya kementerian tersebut meneliti mengenai cadangan yang dibuat kerajaan Kedah sama ada ia menjaga kepentingan semua pihak atau sebaliknya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menghalang sebarang pembinaan empangan atau struktur oleh Kedah dan berharap Kedah juga memahami hak Pulau Pinang.

"Pulau Pinang akan terus menegakkan hak riparian untuk mengabstrak air mentah, tanpa caj, dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri kita. Perundangan ini bukan sahaja digunakan di negara ini malah seluruh dunia.

"Ini lah prinsip apabila sungai dikongsi oleh beberapa buah negeri iaitu negeri di hulu boleh guna air dengan mengambil kira hak masing-masing, sama juga negeri di hilir. Masing-masing mempunyai hak yang sama," katanya kepada pemberita di Majlis Penyempurnaan Program Gotong Royong Perdana Sempena Sambutan Air Sedunia 2021 Peringkat Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, berdasarkan prinsip tersebut, Kedah berhak untuk membina struktur di kawasannya namun ia perlu menjaga kepentingan semua pihak.

"Pulau Pinang akan terus mematuhi undang-undang dalam abstraksi air mentah dari Sungai Muda tanpa pembayaran kepada Kedah. Kedah boleh ambil air yang mengalir ke laut namun mereka kena ingat, negeri lain juga ada hak yang sama.

"Bagaimanapun, Kedah juga mesti mematuhi undang-undang negeri dan negara dalam melaksanakan projek melibatkan Sungai Muda," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek TAPS: Pulau Pinang beri amaran kepada Kedah

Dua hari lalu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan bertindak menghentikan projek di Kedah serta merta sekiranya ia secara langsung mengancam bekalan air di negeri ini dan memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang.

Menurutnya, Pulau Pinang akan melaksanakan beberapa langkah dalam menghentikan projek yang merugikan itu, antaranya mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Persekutuan dan mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen.

Selain itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan injunksi mahkamah dalam menghentikan projek itu.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Kedah mengenai Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang menakung lebihan air di Sungai Muda akan mula dibangunkan tahun ini.

Projek yang mendapat peruntukan daripada KASA itu bertujuan meningkatkan bekalan air di Kedah dan menstabilkan paras air di sungai tersebut ketika musim kemarau.

Dalam pada itu, ditanya mengenai usaha Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang bakal menggunakan air selut jika enggan membayar caj air mentah, Kon Yeow berkata, ia satu kenyataan yang tidak menghormati prinsip riparian tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!