AMK gesa kerajaan kekang monopoli ekonomi gig

Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta kerajaan memantau secara dekat industri ekonomi gig bagi memastikan ia berjalan secara sihat walaupun dilihat sebagai model ekonomi yang semakin berkembang maju.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sekiranya industri ekonomi itu tidak dipantau, ia mampu mengheret persekitaran ekonomi Malaysia ke arah amalan monopoli yang hanya dikuasai satu pihak.

"Saya menyambut baik pandangan Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh) dan Wong Chen (Ahli Parlimen Subang) sewaktu forum webinar dengan topik 'Policy Monday: Labour Market Trends – Gig Economy'.

"Mereka meluahkan kerisauan terhadap situasi semasa yang dilihat berpotensi membuka ruang monopoli sesetengah pihak dengan merujuk kepada platform seperti Grab.

"Ini secara tidak langsung menyuburkan sistem ekonomi secara kapitalisme yang membuka ruang sepenuhnya kepada pihak-pihak pemodal untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka tanpa diganggu kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Akmal bagaimanapun tidak menafikan syarikat-syarikat yang dimaksudkan itu mempunyai kelebihan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang sebagai penggerak pertama.

Namun, beliau berpandangan ia masih tidak boleh lari dari risiko berlakunya amalan monopoli yang tidak terkawal dan berpotensi menjadi krisis yang besar di masa hadapan.

"Oleh itu, kerajaan wajar melaksanakan kajian susulan terhadap Akta Persaingan 2010 bagi memastikan tiada kelompongan yang boleh dimanipulasikan pemain industri untuk tujuan monopoli dalam perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu memainkan peranan lebih proaktif bukan sahaja bagi memberdayakan ekonomi gig, bahkan turut perlu menjadi sistem sokongan dalam memastikan industri ini mampu memberi perlindungan sebaiknya kepada pekerja-pekerja yang terlibat.

Buat masa ini, katanya, pekerja ekonomi gig perlu mendaftar sendiri di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Menurut data yang diperoleh setakat Ogos 2020, jumlah yang berdaftar dengan Perkeso hanyalah sekitar tujuh peratus daripada 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu melihat penambahbaikan dalam hal berkenaan kerana pekerja ekonomi gig juga terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi.

"Usaha mengekang risiko amalan monopoli dengan mengkaji undang-undang sedia ada serta memperkemaskan inisiatif semasa bagi melindungi pekerja ekonomi gig perlu diletakkan sebagai sebahagian daripada keutamaan kerajaan untuk disegerakan," katanya.