MCA gesa kerajaan tawar inisiatif potongan cukai

Wong You Fong
Wong You Fong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita MCA menggesa kerajaan menawarkan inisiatif potongan cukai bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh negara.

Ketuanya, Wong You Fong berkata, ia memandangkan penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia ketika ini masih lagi rendah iaitu 56 peratus sahaja.

"Kerajaan perlu berusaha menawarkan inisiatif yang menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh dengan menawarkan insentif potongan cukai kepada wanita yang kembali ke dunia pekerjaan.

"Potongan cukai juga dicadang diberikan kepada majikan yang sanggup melaksanakan sistem waktu anjal kepada golongan ibu yang bekerja," katanya ketika perbahasan Bicara Wanita mewakili MCA-BN sempena Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, You Fong menegaskan, kerajaan juga perlu memastikan target 30 peratus penglibatan wanita dalam semua sektor pekerjaan dapat ditingkatkan termasuklah sektor perniagaan dan komersial.

"Kerajaan juga harus komited meningkatkan ekonomi golongan wanita melalui bidang keusahawanan.

"Beberapa inisiatif penting yang boleh diambil adalah seperti menubuhkan sebuah badan untuk menjayakan pembangunan ekonomi wanita, menggalakkan pendaftaran koperasi khusus untuk wanita dan mewujudkan sebuah bank pembangunan untuk ekonomi wanita," tambahnya.

Selain itu, katanya, penglibatan dan penguasaaan wanita dalam kepimpinan untuk semua sektor juga masih rendah berbanding lelaki.

"Ketika ini kita hanya mempunyai 32 ahli Parlimen wanita berbanding ahli Parlimen lelaki yang berjumlah 190 orang.

"Malah penyertaan wanita di dalam jawatan utama dan ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat tersenarai di Bursa Malaysia masih rendah," katanya.

Justeru, You Fong percaya dengan adanya kuasa politik, semangat keharmonian kerajaan perpaduan dan kestabilan politik ketika ini ia dapat memastikan nasib rakyat dapat terus dibela dan dipelihara.

"Saya yakin kepimpinan wanita Kerajaan Perpaduan dapat berganding bahu dalam menjayakan segala agenda pemerkasaan wanita seperti pembelaan, perlindungan kebajikan, keselamatan, keusahawanan, pendidikan dan hak kesamarataan gender," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:'Tak sangka markas UMNO jadi tempat penyatuan semua parti'

​​​​​​​ARTIKEL BERKAITAN:Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berlangsung hari ini