Kerajaan disyor tubuh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTC Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTC Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO mencadangkan kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan itu juga bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna sektor tersebut.

"Sektor ini kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah terdiri daripada anak muda," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunja Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan, kerajaan tidak boleh mengetepikan arus evolusi digital.

Beliau berkata, ia kerana evolusi digital berkenaan menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi 'multi billion', sehingga mencecah RM52.4 bilion pada tahun 2020 sahaja.

"Malah ia dijangka berkembang pada kadar 23 peratus setiap tahun.

"Saya percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig ini, ia akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig serta adik-adik Grab, LalaMove, Foodpanda di luar sana," ujarnya.

Kata Ahmad Zahid, ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan tersebut ke luar negara.