SEGiM mampu selesai kemelut sektor ekonomi gig

Jose Rizal
Jose Rizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) mampu menyelesaikan kemelut yang berpanjangan antara semua pemegang taruh terbabit dalam sektor ekonomi gig.

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, penubuhan SEGiM membolehkan kerajaan merangka dan melaksanakan bentuk perundangan yang adil kepada semua pihak.

"Ini adalah kerana sektor ekonomi gig melibatkan beberapa kementerian dan agensi dan pasti akan berlakunya pertindihan bidang kuasa.

"Sebagai contoh, dalam isu e-hailing dan p-hailing, ia melibatkan lebih dari lima kementerian," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Jose menambah, sehubungan itu, mereka menyokong penuh cadangan UMNO bagi penubuhan SEGiM yang dilihat akan dapat memperjuangkan nasib pekerja gig di seluruh negara.

"Sekretariat, Gabungan eHailing Malaysia ingin menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mencadangkan penubuhan SEGiM dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023," katanya.

Pada Jumaat, UMNO mencadangkan kerajaan segera menubuhkan SEGiM untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, saranan itu bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna sektor tersebut.