X

Kindly register in order to view this article
!

Lesen memandu sementara untuk pemegang kad UNHCR

Zuhairi
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) akan mengemukakan kertas cadangan agar kerajaan memberikan lesen memandu sementara kepada pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam masa terdekat.

Presiden Peka, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata, cadangan itu diberikan bagi membolehkan pemegang kad UNCHR memohon lesen kenderaan dan menggunakan kenderaan di negara ini secara sah.

Menurutnya, ini dapat mengurangkan kebimbangan terhadap sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku kerana mereka tahu tentang peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Saya akui kebanyakan pemegang kad UNCHR mahir mengendalikan kenderaan tetapi mereka tidak memahami peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Jadi masalah ini sebenarnya menjadi faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh bekerjasama dengan institut memandu dan mengadakan perbincangan bagi melicinkan pelaksanaan konsep ini.

"Dengan kaedah itu pemegang kad itu mempunyai pemahaman jelas tentang undang-undang dan peraturan jalan raya secara mendalam.

"Mereka juga dapat mempelajari teknik penggunaan kenderaan yang betul supaya tidak membahayakan nyawa pengguna lain," katanya.

Selain itu, Zuhairi berkata, setiap pemohon lesen memandu sementara itu wajib menghadiri kursus di institut memandu atau mana-mana tempat yang dipersetujui oleh pihak institut memandu dan JPJ.

“Ini bagi memudahkan pihak berkuasa untuk melaksanakan pemantauan dan kawalan terhadap mereka.

"Ia juga termasuklah usaha membabitkan penyelesaian bagi menangani isu pemalsuan lesen memandu dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa penipuan selama ini akibat tiada rekod bio metrik sekali gus dapat meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Zuhairi yakin pemberian lesen memandu sementara bakal mewujudkan satu kaedah pengumpulan maklumat pelarian dan pemohon suaka lebih komprehensif untuk memudahkan pihak berkuasa memastikan mereka mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!