X

Kindly register in order to view this article
!

Punca ribuan ikan patin mati jadi tanda tanya

Ribuan ikan patin yang diusahakan beberapa pengusaha di Sungai Pahang dekat Kampung Lada, Jerantut yang mati sejak beberapa hari lalu.
A
A

JERANTUT- Beberapa pengusaha ikan sangkar di Sungai Pahang dekat Kampung Lada di sini terpaksa menanggung kerugian berikutan ribuan ikan khususnya patin yang diternak mati sejak Ahad lalu.

Difahamkan terdapat kira-kira 40 pengusaha ikan sangkar di kampung tersebut.

Lebih membimbangkan dan menjadi tanda tanya pengusaha-pengusaha ikan sangkar berkenaan ialah punca yang menyebabkan ikan diternak mati tidak diketahui.

Pengusaha, Afzalrullah Isharum, 28, berkata, kira-kira 18,000 ekor ikan patin miliknya mati.

Menurutnya, ia kejadian kali kedua dihadapinya, namun berbeza dengan situasi kali pertama pada 2014 kerana banjir besar pada tahun tersebut.

"Kali ini memang saya dan pengusaha sangkar ikan di kampung ini bingung dan tidak tahu puncanya ikan mati banyak sebegini tapi keadaan air memang sangat keruh sejak beberapa hari lalu.

"Saya mengalami kerugian kira-kira RM30,000 selepas hampir semua 16 sangkar yang dimiliki terjejas," katanya pada Sinar Harian pada Selasa.

Kamarulzaman menunjukkan sebahagian ikan di sangkar miliknya yang mati di Sungai Pahang dekat Kampung Lada, Jerantut.
Kamarulzaman menunjukkan sebahagian ikan di sangkar miliknya yang mati di Sungai Pahang dekat Kampung Lada, Jerantut.

Afzalrullah berkata, dia dan pengusaha lain berharap dapat mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.

"Hari ini (Selasa) Jabatan Perikanan akan datang untuk mengambil sampel air," katanya yang mengusahakan perniagaan keluarga yang berusia lebih 20 tahun.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Kamarulzaman Rusly, 29, berkata, dia bernasib baik kerana belum meletakkan benih ikan pada salah satu sangkar yang diusahakan.

"Saya baru menyewa dan memelihara ikan sangkar di sini lima bulan lalu.

"Cuma satu sangkar terjejas, namun ribuan juga ikan yang mati sejak beberapa hari lalu," dakwanya.

Mengakui terkejut kerana kali pertama berdepan situasi tersebut, Kamarulzaman berharap pihak terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!