Pesakit rawatan hemodialisis MMC dirujuk ke HTJ

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan (kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat penyelarasan kilang kitar semula sisa plastik di pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan (kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat penyelarasan kilang kitar semula sisa plastik di pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kesemua 274 pesakit yang mendapatkan rawatan hemodialisis di Mawar Medical Centre (MMC) di sini dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) hari ini selepas operasi MMC ditamatkan semalam.

Exco Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, mereka dipanggil ke HTJ dan diberi maklumat tentang tempat alternatif untuk mereka menyambung rawatan.

“Pesakit terbabit juga diberikan kemudahan pengangkutan ke hospital berdekatan untuk membuat rawatan dialisis.

"Bermakna, Kementerian Kesihatan sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan pesakit hemodialisis MMC ini dibela dan terus mendapat rawatan di hospital kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, penutupan MMC itu tidak melibatkan 13 cawangan pusat hemodialisis lain yang dilesenkan di bawah Pusat Hemodialisis Mawar (PHM).

"Tentang nasib 57 orang kakitangan MMC, perkara ini sedang dikaji.

"Saya juga ada membuat cadangan kepada kerajaan negeri, bagaimana kita (kerajaan negeri) akan mengambilalih MMC dan menambah baik pusat perubatan itu," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan menutup pengoperasian MMC di sini setelah mendapati pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Medical Centre ditutup: KKM