Ismail ikrar pertahan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah

Ismail Lasim (kiri) ikrar pertahan Tuanku Muhriz (kanan) sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah
Ismail Lasim (kiri) ikrar pertahan Tuanku Muhriz (kanan) sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan bahawa beliau akan memastikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan menyokong atau memudahkan apa-apa usaha untuk mempertikaikan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tambahnya, ia termasuklah tidak akan mengiktiraf mana-mana orang lain atau untuk menghidupkan semula proklamasi 19 April 2026 atau apa-apa dokumen yang berkaitan.

"Saya menegaskan tanpa berbelah bahagi bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

"Saya tidak akan melakukan dan tidak akan membenarkan dilakukan oleh mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan, agensi atau pegawai kerajaan negeri apa-apa perbuatan yang mengurangkan, merampas, mengetepikan atau menjejaskan kedaulatan, jawatan, prerogatif, kuasa, hak atau keistimewaan baginda," katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini pada Jumaat.

Justeru itu katanya, proklamasi pemecatan baginda yang dikeluarkan pada 19 April lalu adalah tidak sah, tidak mempunyai apa-apa kesan dan tidak akan diwartakan.

Ismail menjelaskan bahawa beliau tidak berada di bawah apa-apa paksaan, ugutan serta pengaruh yang tidak wajar dan ia dibuat atas kesedaran kerana telah khilaf dalam meneraju kerajaan negeri Sembilan sebelum ini.

"Saya mengulangi sumpah taat setia saya yang telah dibuat bersaksikan al-Quran bahawa sesungguhnya saya bersumpah untuk menghormati dan mengikrarkan taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan institusi di-Raja, melindungi dan memelihara kedaulatan perlembagaan negeri serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang(DKU).

"Saya menurunkan tandatangan saya dan aku janji ini dengan memahami sepenuhnya kandungan aku janji ini dan kesannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail, beliau akan memastikan semua anggota kerajaan Negeri Sembilan akan terus menghormati dan taat setia kepada Tuanku Muhriz dan seluruh institusi Diraja serta DKU selanjutnya melindungi dan memelihara kedaulatan perlembagaan Negeri Sembilan.

"Sekiranya saya atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana bahagian dan perenggan kepada aku janji ini, saya berjanji akan menarik diri dan menyembah maklum surat peletakan jawatan dengan cara sempurna kepada Tuanku Muhriz bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!