Kerajaan Negeri Sembilan iktiraf tiga Undang baharu - Ismail Lasim

Ismail ketika sidang media khas di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada Jumaat. Foto Bernama
Ismail ketika sidang media khas di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akur bahawa dua Undang Yang Empat telah terhenti daripada memegang jawatan dan mengiktiraf tiga Undang baharu yang dilantik mengikut adat luak masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, tiga Undang berkenaan ialah Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Abu Hamid dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.

"Saya akur bahawa Datuk Mubarak Dohak dan Datuk Maarof Mat Rashad telah terhenti daripada memegang jawatan sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu menurut adat luak masing-masing pada tarikh yang terpakai baginya.

"Datuk Abdul Rahim Yasin juga tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau menurut adat yang dikehendaki, malah pelantikannya tidak pernah disempurnakan melalui istiadat menzahirkan kejadian undang," katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini pada Jumaat.

Ismail berkata, susulan perkembangan itu, ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Katanya, beliau akan merujuk kepada Dewan di bawah Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan apa-apa persoalan berkenaan adat termasuk berkenaan pemilihan, penggantian, penyingkiran atau pengosongan jawatan mana-mana Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong sekiranya perlu.

"Saya aku janji tanpa berbelah bahagi untuk mengiktiraf dan melaksanakan kesemua ketetapan Dewan baik yang telah dibuat mahupun yang akan dibuat termasuklah mewartakan ketetapan-ketetapan Dewan secepat mungkin apabila perlu," katanya.

Tambahnya, beliau akan memastikan kerajaan negeri berhenti memberikan pengiktirafan keutamaan, emolumen, kediaman, kakitangan dan keistimewaan jawatan Undang kepada mana-mana yang orang yang menurut nasihat dan ketetapan Dewan sebagai tidak memegang jawatan.

"Saya akan memastikan balai setiap luak serta pengiktirafan kediaman, emolumen, kakitangan dan keistimewaan jawatan disediakan pada setiap Undang yang menurut nasihat dan ketetapan Dewan sebagai memegang jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kemudahan pengiktirafan dan keistimewaan itu akan disediakan dengan segera dan tidak akan ditangguhkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!