Jejambat Wakaf Bharu mula dibuka hari ini

Nanta dan Ahmad (tengah) pada Majlis Perasmian Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat.
Nanta dan Ahmad (tengah) pada Majlis Perasmian Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Jejambat Wakaf Bharu dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor di sini dibuka kepada orang ramai bermula Isnin.

Projek bernilai RM97.6 juta itu mula dibina pada 19 Februari 2018 dan siap pada 15 Jun lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan ialah projek rintis bagi pelaksanaan secara Building Information Modelling (BIM) yang dapat menjimatkan kos sebanyak RM7.9 juta daripada asal RM105.5 juta.

Menurut beliau, pembinaan membabitkan jejambat jalan berkembar empat lorong melintasi bulatan Wakf Bharu dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor sepanjang 470 meter (m).

“Projek juga merangkumi perlebaran dua jambatan sedia ada iaitu Jambatan Atas Rel sepanjang 26.2m dan Jambatan Alor Kedemit sepanjang 25m.

“Menaik taraf bulatan Wakaf Bharu dan ialah projek rintis BMI pertama yang siap,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Jejambat Wakaf Bharu di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Alexander berkata, dengan siapnya projek itu akan dapat menyuraikan trafik di laluan berkenaan yang sering mengalami kesesakan trafik pada waktu puncak pagi dan petang serta musim perayaan.

“Jejambat juga dilaksanakan secara reka dan bina yang meningkatkan tahap keupayaan jalan.

“Level of Service (LOF) dari tahap F ke C yang bermaksud kelancaran trafik berjaya ditingkatkan,” ujar beliau.