Ismail Lasim perlu buktikan sokongan majoriti ADUN- Istana Negeri Sembilan

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim perlu menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN untuk terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.
Menurutnya, pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan.
"Merujuk kenyataan Istana bertarikh 17 November 2026 berhubung surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November 2026 yang dihantar ke Istana Hinggap, selain laporan media hari ini.
"Seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan tersebut, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan pihak Istana belum mengesahkan surat berkenaan,"katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, dalam majlis menghadap baginda pada pagi Jumaat, yang turut dihadiri oleh Dato'-Dato' Undang, Ismail telah menyatakan bahawa beliau tidak mengemukakan surat tersebut dan tidak bersetuju surat itu dikemukakan.
Selain itu kata Pengelola Bijaya Diraja, Ismail perlulah mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
"Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
"Ke Bawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


