JKKP panggil kontraktor projek pembinaan SUKE

Lokasi kejadian struktur besi kren 'launcher' terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras. Gambar kecil: Awang Hashim
Lokasi kejadian struktur besi kren 'launcher' terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras. Gambar kecil: Awang Hashim
A
A
A

PENDANG - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memanggil semua kontraktor terlibat dalam projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kesemua akan dipanggil dalam masa terdekat untuk sesi libat urus pembentangan prosedur operasi standard (SOP).

Awang berkata, beliau telah mengarahkan JKPP memanggil kontraktor terbabit termasuk kontraktor di Kuala Lumpur dan Selangor untuk membentangkan SOP yang telah dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya memberi perhatian terhadap insiden kemalangan yang berlaku baru-baru ini memandangkan ia satu perkara besar melibatkan kos pembinaan yang mencecah bilion ringgit.

"Pembentangan SOP sedia ada dan penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan masalah berkenaan dapat diatasi, sekali gus mengelakkan kejadian seumpamanya berulang jikalau ada unsur-unsur pengabaian daripada pihak kontraktor.

"Kita akan meningkatkan SOP dalam semua sektor yang ada. Sekiranya ada kelemahan atau SOP yang dibuat 20 tahun lepas, ia perlu diperbaharui atau diharmonikan," katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang di sini pada Ahad.

Awang berkata, beliau juga dijangka bertemu dengan semua kontraktor besar yang terlibat dalam projek SUKE dan projek-projek lain pada 5 April depan bagi membentangkan SOP akan dijalankan.

Menurutnya, pihaknya juga akan memastikan pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) menjadi cekap dalam menjalankan tugas tidak kira dalam sektor pembinaan, pembuatan atau mana-mana sektor.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menggerakkan badan penting di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) supaya memastikan latihan mencukupi dan komprehensif untuk melahirkan OSH terlatih," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi peringkat Kementerian Sumber Manusia, JKPP telah diarahkan menghentikan serta-merta projek pembinaan SUKE tersebut.

Menurutnya, kementerian bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kebimbangan pengguna untuk menggunakan laluan tersebut, Awang berkata, sekiranya kontraktor terbabit didapati tidak boleh mengikuti garis panduan ditetapkan, perkara itu akan dibawa hingga peringkat pendakwaan berdasarkan hasil siasatan.

"Kita akan merujuk dan membuat semakan dengan OSH demi memastikan kontraktor projek pembinaan melaksanakan SOP, sekali gus memastikan tiada masalah akan berlaku," katanya.

Pada Isnin, dua pekerja kontraktor projek SUKE maut, manakala seorang lagi tersangkut dan seorang pemandu kereta cedera parah dalam insiden struktur besi 'kren launcher' pembinaan lebuh raya berkenaan yang jatuh di Persiaran Damai Cheras, Kuala Lumpur.