SUKE buka akses laluan baharu buat penduduk

Laporan Sinar Harian pada 22 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 22 Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (SUKE) membuka beberapa laluan baharu termasuk kawasan parkir kenderaan untuk penduduk Kondominium Puncak Banyan dan sekitarnya bermula pada Jumaat.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, SUKE berkata, pembukaan laluan itu adalah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk di kawasan terlibat terjamin susulan daripada kejadian komponen kren 'launcher' terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya terbabit sebelum ini.

Katanya, satu lorong pejalan kaki sedia ada turut dibersihkan dan diluaskan bagi memastikan penduduk mempunyai akses laluan yang lebih selamat.

"Sebagai tambahan, satu akses baharu dibuka di belakang blok A kondominium terbabit malah lampu limpah juga akan dibuka pada waktu malam bersama dengan kawalan pengawal keselamatan selama 24 jam," katanya.

Dalam pada itu, bagi memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk yang tidak mempunyai kenderaan, SUKE berkata, pihaknya juga menyediakan van perantara yang beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 9.30 malam setiap hari.

Katanya, semua inisiatif berkenaan adalah bersifat sementara sehingga kerja-kerja pengalihan struktur kren gantri dan pembaikan kawasan insiden selesai.

"Sekali lagi, kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul berkaitan kejadian ini dan sebarang maklum balas atau pertanyaan boleh dibuat menerusi mana-mana saluran komunikasi kami," katanya.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan tiga individu maut dan seorang lelaki cedera parah dalam kejadian struktur besi kren launcher terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada 22 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, kejadian itu melibatkan enam mangsa dengan tiga daripada mereka merupakan pekerja projek pembinaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Tiga maut struktur besi kren terjatuh