SSAP Changkat Menteri tunjang bekalan makanan Selangor

Amirudin memandu jengkaut sebagai simbolik perasmian pada Majlis Pelancaran Hab Sekuriti Makanan di SSAP Changkat Menteri, Sabak Bernama pada Jumaat.
Amirudin memandu jengkaut sebagai simbolik perasmian pada Majlis Pelancaran Hab Sekuriti Makanan di SSAP Changkat Menteri, Sabak Bernama pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pelaksanaan program keselamatan bekalan makanan di Selangor Smart Agro Park (SSAP), Changkat Menteri, di sini mampu menjadi sebuah pusat infrastruktur pertanian moden dan menjadi tunjang kepada keselamatan bekalan makanan di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek menelan belanja RM50 juta itu merupakan sebahagian perancangan untuk memastikan jaminan keselamatan bekalan makanan di negeri ini.

Menurutnya, kawasan pertanian teknologi tinggi itu dibangunkan di kawasan seluas 971.2455 hektar milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

"Sasaran secara purata kita anggarkan sebanyak 0.8 hektar tanah akan dibangunkan pada setiap tahun dengan penumpuan kepada pembangunan pertanian tanaman.

"Antara tanaman dikenal pasti seperti jagung bijirin, pisang, cili, nanas dan kelapa kerana ia merupakan antara bekalan berkualiti yang mendapat permintaan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Hab Sekuriti Makanan di SSAP Changkat Menteri, di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, langkah tersebut juga dijangka menambah kawasan pertanian, meningkatkan aktiviti pengeluaran memperkasa PKPS, meningkatkan insentif agro pertanian dan menggiat kaedah pertanian moden.

"Salah satu perancangan kita adalah membina sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit yang mana pekebun sekitar boleh menghantar hasil mereka di kilang ini bagi mendapatkan harga jualan lebih baik tanpa melibatkan orang tengah.

Artikel Berkaitan:

"Kilang pemprosesan ini dijangka mula dibina akhir tahun ini dan disiapkan dalam tempoh dua tahun selepas itu," katanya.

Ditanya adakah pembangunan kawasan itu dikhuatiri menjejaskan habitat liar semula jadi di kawasan terbabit, Amirudin berkata, pihaknya sentiasa peka dengan isu pemuliharaan alam semula jadi di kawasan terbabit.

Katanya, konsep 'Central Forest Spine' yang ditonjolkan mencerminkan falsafah pembangunan kerajaan negeri yang cakna tentang kepentingan memulihara ekosistem hidupan liar.

"Kawasan ini juga sebenarnya bukanlah kawasan hutan, tetapi dibangunkan di kawasan penampan kepada kawasan hutan sedia ada," katanya.

Selain itu, katanya, pembangunan program keselamatan bekalan makanan juga akan dibangunkan di kawasan Sungai Air Tawar.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak memikirkan soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebaliknya terus memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah rakyat termasuk aktiviti menanam nanas di negeri tersebut.

Amirudin berkata, selaku Menteri Besar Selangor, strategik politik beliau tertumpu kepada soal khidmat kepada rakyat di negeri ini sehingga tempoh pilihan raya akan datang.

"Kita belum fikir lagi pertandingan satu lawan satu (dua penjuru) atau dua lawan dua, sebaliknya saya tengah fikirkan bagaimana ingin tanam pokok nanas serta tanaman lain untuk mencukupkan bekalan makanan di negeri ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pas menyasarkan pertandingan dua penjuru pada PRU-15 iaitu melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan PH.

Amirudin hadir pada Majlis Pelancaran Hab Sekuriti Makanan di SSAP Changkat Menteri di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, beliau menghormati prinsip parti lawan dan terpulang kepada mereka sekiranya ingin bercakap tentang pilihan raya.

"Tapi tak apalah, masing-masing (parti politik) boleh fikir satu lawan satu atau dua lawan dua. Itu terpulanglah," katanya.