Pendengaran lucut hak RM16 juta aset keluarga Abdul Azeez 29 Jun

Abdul Azeez - Foto Bernama
Abdul Azeez - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan 29 Jun depan untuk mendengar tuntutan semua pihak yang berkepentingan berhubung kes saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas pemohon, responden dan penuntut (pihak ketiga), bersetuju dengan tarikh berkenaan.

Dalam prosiding ini, responden iaitu isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka, Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera serta Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd diwakili peguam, Datin Marina Mohamed.

Sementara bagi pihak kerajaan selaku pemohon diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim dan Aslinda Ahad manakala penuntut, Maybank Islamic Berhad diwakili peguam, Poh Choo Hoe.

Ketika prosiding pewartaan pihak ketiga yang dijadualkan pada Jumaat, Nik Haslinie berkata, pihak ketiga hadir bagi menuntut item ke-6 dalam senarai warta kerajaan.

Dalam pada itu, Aslinda berkata, item keenam yang dituntut oleh pihak ketiga adalah sebuah lot kedai yang terletak di Bandar Sunway.

"Hakim mengarahkan pemohon dan responden memfailkan afidavit hujahan bertulis seminggu sebelum tarikh pendengaran tersebut.

"Pihak ketiga yang diwakili peguam juga boleh berbuat demikian sekiranya mahu," katanya ketika ditemui di luar mahkamah pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pada September 2019 lalu, berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera dan akaun syarikat milik mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September 2019 manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari 2020.