Rasuah politik mencuri demokrasi

A
A
A

KALAU kita terima definisi antarabangsa rasuah (corruption) sebagai ‘penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk manfaat peribadi’, maka salah satu gejala rasuah politik berlaku dalam persempadanan kawasan pilihan raya, yang telah pun bermula selewat-lewatnya di Amerika Syarikat pada awal kurun ke-19.

Gabenor Massachusetts, Elbridge Gerry telah mewujudkan sempadan kawasan pilihan raya Boston yang berbentuk aneh, seolah-olah seekor salamander, sejenis haiwan amfibia yang nampak semacam cicak.

Maka lahirlah nama gejala rasuah ini yang menggabungkan nama gabenor (Gerry) dan sebahagian nama haiwan (salamander), gerrymandering, yang kini masuk dalam istilah bahasa Melayu sebagai gerimander.

Gerimander ialah manipulasi sempadan kawasan pilihan raya yang boleh memenangkan parti tertentu, dengan dua kaedah utama, cracking dan packing.

Pertama, di kawasan marginal yang parti lawan ada peluang untuk menang tetapi tidak terjamin, sebahagian pengundi parti lawan dipindah ke kawasan-kawasan sebelah supaya kekuatannya dipecahkan (cracking) dan tidak dapat memenangi apa-apa kerusi.

Kedua, pengundi parti lawan dipindah masuk sampai menyumbat (packing) di kubu kuat parti lawan yang tidak mungkin ditawan secara cracking.

Tujuan packing ialah memudahcarakan cracking dan sekali gus menghadkan kemenangan parti lawan di beberapa kubu kuat sahaja.

Demokrasi ialah pengundi memilih wakil rakyat mereka.

Artikel Berkaitan:

Sebagai majikan yang boleh memecat wakil rakyat, rakyat mempunyai kuasa untuk mendorong wakil rakyat untuk bekerja keras dan menjaga kebajikan mereka.

Kalau diungkapkan dalam simpulan bahasa Melayu, tuan sawah boleh menghalau burung pegar yang makan padinya dan menggantikannya dengan burung pegar lain.

Gerimander ialah sebaliknya: wakil rakyat memilih pengundinya.

Maka, majikan hilang kuasa untuk memecat wakil rakyat yang membelot kepentingan rakyat atau mencuri tulang.

Dan burung pegar boleh terus makan padi kerana tuan sawah tidak berupaya lagi untuk menghalaunya. Akhirnya, tuan sawah mungkin sengsara kelaparan sedangkan burung pegar gembira kekenyangan.

Ada pihak yang cuba menghalalkan rasuah politik termasuk gerimander dengan kanca kaum atau Assabiyah.

Logiknya mudah saja – kerana memilih bulu itu naluri manusia, ‘orang kita sendiri’ akan menjaga kita manakala ‘orang lain’ yang lain suku, kaum atau agama daripada kita akan mengambil kesempatan kita.

Maka, rasuah itu boleh diterima kalau perasuah itu ‘orang kita sendiri’ dan mesti ditolak kalau dia ‘orang luar’. Kembali kepada gerimander, ceritanya beginilah: Orang Melayu akan untung besar kalau mereka tidak dapat memecat sesetengah parti asalkan parti-parti yang ‘kebal pemecatan’ ini mendakwa diri mereka sebagai wakil orang Melayu.

Cerita dongeng gerimander menyembunyikan fakta mudah ini:

Sebagai kumpulan terbesar di Malaysia, tiada kerajaan mungkin bertahan tanpa sokongan orang Melayu.

Parti-parti yang mengabaikan kepentingan Melayu akan gagal menerajui kerajaan sama ada dalam atau selepas pilihan raya.

Maka, kesan sebenar gerimander bukan menjamin kuasa politik orang Melayu, tetapi merampas pilihan pengundi Melayu dalam memilih parti yang bersaing untuk mendapat undi mereka.

Maka persoalannya, adakah orang Melayu menjadi lebih kuat jika kuasa pilihan mereka menjadi semakin lemah dengan tercurinya demokrasi?

Adakah tuan sawah akan mendapat lebih banyak hasil padi jika mereka tiada lagi kuasa untuk memecat pegar dan cuma boleh menaruh harapan mereka pada kesucian hati pegar?

Hidup beramal setiap hari

Ucap berbudi setiap kata

Gerimander jamin rezeki menteri,

Siapa jamin rezeki rakyat jelata?

* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen