Kerana cuti, penyelia dan pekerja bertengkar di kedai makan

Tidak berpuas hati mengenai cuti menjadi punca seorang wanita bertengkar dengan penyelianya di sebuah kedai makan di Teluk Intan.
Tidak berpuas hati mengenai cuti menjadi punca seorang wanita bertengkar dengan penyelianya di sebuah kedai makan di Teluk Intan.
A
A
A

TELUK INTAN - Tidak berpuas hati berhubung cuti menjadi punca dua individu bertengkar dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Changkat Jong di sini pada Isnin.

Video pertengkaran antara seorang wanita dan lelaki berusia itu tular di media sosial pada Rabu.

Lelaki tersebut dilihat menjerit menyebabkan wanita berkenaan mula menamparnya sebelum tercetus pergaduhan.

Bagaimanapun, wanita terbabit dihalang oleh rakannya dan seorang pekerja kedai membantu meleraikan pergaduhan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, wanita berusia 27 tahun itu telah membuat laporan polis terhadap lelaki berusia 56 tahun yang merupakan penyelianya di sebuah syarikat pengawal keselamatan.

"Laporan dibuat pada jam 9.53 malam pada Isnin akibat perselisihan faham antara mereka berdua.

"Pertengkaran tersebut dirakam oleh orang awam. Punca kejadian dipercayai akibat tidak berpuas hati berkaitan cuti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, polis telah memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan dan mereka bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara baik.

Artikel Berkaitan: