Perak serah kepada pihak berkuasa isu berniaga di lampu isyarat

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menyerahkan kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti menjaja di lampu isyarat kerana tindakan itu membabitkan keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, soal keselamatan sama ada pengguna jalan raya dan penjaja menjadi keutamaan kerajaan berbanding aktiviti jual beli di lampu isyarat tersebut.

Menurutnya, aktiviti peniaga di lampu isyarat memang membahayakan dan bukan soal memberi kelonggaran atau sebaliknya.

"Kita lebih mementingkan aspek keselamatan. Jadi, tak ada siapa yang akan ambil tanggungjawab jika berlaku sesuatu sebab kereta banyak dan biasanya mereka menjual beli di hadapan lampu isyarat.

"Biasanya kita tahu, kita bawa kereta bila lampu daripada merah tiba-tiba hijau kereta terus jalan dan ini bahaya. Bukan masalah kelonggaran (kebenaran berniaga) tapi perkara itu masih tertakluk kepada (polis) trafik. Mereka lebih tahu berkaitan keselamatan jalan raya ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen e-Waste Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Rosli Zul.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergadai nyawa di lampu isyarat

Artikel Berkaitan:

Terengganu beri kelonggaran berniaga di lampu isyarat

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Terengganu masih mengekalkan kelonggaran kepada peniaga untuk menjaja di persimpangan lampu isyarat di negeri ini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Nurkhuzaini Abdul Rahman bagaimanapun berkata, ia tidak bermaksud kerajaan negeri membiarkan aktiviti perniagaan itu dijalankan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sinar Harian pada 19 Mac lalu menyiarkan laporan khas mengenai aktiviti berniaga di tepi persimpangan lampu isyarat dan tengah jalan di beberapa lokasi di negara ini.