Parti PM Israel gagal dapat majoriti

Benjamin Netanyahu - Foto AFP
Benjamin Netanyahu - Foto AFP
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam pilihan raya Parlimen pada Selasa tetapi gagal untuk memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Pilihan raya umum itu diadakan buat kali keempat dalam tempoh kurang dua tahun selepas kerajaan perpaduan yang ditubuhkan bersama ketua tentera rejim Zionis, Benny Gantz merangkap Menteri Pertahanan dalam Kabinet Netanyahu mengalami keretakan.

Tinjauan pendapat menunjukkan parti pimpinan Gantz diramalkan akan mendapat antara tujuh hingga lapan kerusi berbanding 33 kerusi pada pilihan raya Parlimen setahun lalu.

Perdana Menteri berusia 71 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana memberikan kemenangan besar kepada parti-parti berhaluan kanan dan parti pimpinannya, Likud.

Ketika ini, parti Likud mendapat 31 atau 32 kerusi daripada 120 kerusi yang dipertandingkan di Parlimen, lapor AFP.

Saingan terdekatnya, parti Yesh Atid dijangkakan memperoleh antara 16 hingga 18 kerusi.

Parti Netanyahu memerlukan 61 kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah menyebabkan beliau perlu meyakinkan beberapa buah parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Perikatan partinya itu dijangka mengadakan kerjasama dengan parti Agama Zionis yang diramalkan memenangi enam hingga tujuh kerusi.

Artikel Berkaitan:

Netanyau merupakan Perdana Menteri pertama Israel yang dituduh secara rasmi terlibat dengan rasuah pada tahun lalu tetapi dakwaan itu dinafikannya.

Beliau pernah berkata tidak akan menyekat perbicaraannya itu tetapi para pengkritik berkata, pemimpin tersebut mungkin akan meminta Parlimen untuk menangguhkan atau menamatkan proses perbicaraannya.

Keputusan penuh pilihan raya mungkin mengambil masa selama beberapa hari lagi. - Agensi