Azam Baki kekal KP SPRM: Anwar patut rujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Anwar Ibrahim dan Azam Baki. Gambar kecil: Thomas Fann
Anwar Ibrahim dan Azam Baki. Gambar kecil: Thomas Fann
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi pemilihan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, ia bagi menghapuskan sebarang persepsi campur tangan Perdana Menteri dalam SPRM.

Tambah beliau, ia sekali gus akan menghapuskan sebarang persepsi campur tangan Perdana Menteri dalam kerja SPRM.

“Anwar telah terlepas peluang keemasan untuk benar-benar keluar dari konvensyen menukar Ketua SPRM apabila pertukaran kerajaan berlaku.

“Dengan melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam (Tan Sri Azam Baki), Beliau (Anwar) hanya mengekalkan dan memperkukuh fakta bahawa Perdana Menteri mempunyai budi bicara dan pengaruh mutlak terhadap proses pelantikan.

“Dengan itu tuduhan sesetengah pihak SPRM tidak bebas dan bersenjata terhadap lawan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa Jumaat ini.

Pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Thomas, melangkah ke hadapan, proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya itu perlu dimaktubkan dalam Akta SPRM.

Jelasnya, ia supaya Parlimen menjadi badan bagi memilih Ketua SPRM selain menentukan tempoh pelantikan.

Tambah beliau, ia juga sekali gus dapat menghapuskan kuasa Perdana Menteri untuk sewenang-wenangnya melantik dan memecat individu yang memegang jawatan tersebut.