Hanya 20 peratus rakyat Kedah daftar suntik vaksin Covid-19

Mohd Hayati
Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR - Tahap kesedaran rakyat negeri Kedah bagi pendaftaran suntikan Covid-19 masih rendah iaitu hanya 20 peratus sahaja berbuat demikian setakat Selasa.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kaedah hebahan akan digunakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat faham tentang kepentingan pengambilan vaksin tersebut.

Menurutnya, selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, orang ramai juga boleh mendaftar suntikan vaksin melalui talian hotline 1800 888 828 ataupun melayari www.vaksincovid.gov.my.

"Hebahan tentang kepentingan suntikan vaksin juga akan dilakukan di masjid, manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan yang sukar untuk mengakses internet akan dibantu oleh sukarelawan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berharap masyarakat akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk terus mencegah Covid-19 agar tidak menjadi pencetus kluster baharu kerana virus itu sudah berada di dalam komuniti.

"Kluster baharu dilaporkan sudah ada di Bandar Alor Setar, maka kita mohon masyarakat supaya lebih berwaspada dan patuh dengan SOP yang telah digariskan.

"Kita sudah di ambang Ramadan, harapan semua umat Islam untuk bertarawih bersama dapat ditunaikan di masjid dan surau tidak dinafikan seandainya kes tidak berterusan naik," katanya.

Katanya, rakyat Kedah perlu terus menjaga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) agar statusnya tidak bertukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Artikel Berkaitan:

"Diharap dengan adanya imuniti kelompok (herd imunity) pada 70 ke 80 peratus populasi, diharap jangkitan ini dapat dikurangkan dan seterusnya wabak ini akan hilang," katanya.