TVET OKU pertama di Perak

Ahmad Saidi (kiri) bersama Pengarah Pasak, Misbahul Munir Masduki menyantuni Ahmad Shahrizal yang merupakan antara 12 peserta bagi kursus refleksologi di bawah program TVET OKU.
Ahmad Saidi (kiri) bersama Pengarah Pasak, Misbahul Munir Masduki menyantuni Ahmad Shahrizal yang merupakan antara 12 peserta bagi kursus refleksologi di bawah program TVET OKU.
A
A
A

IPOH - Perak menjadi perintis kepada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM200,000 tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pelaksanaan program di bawah Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) itu memfokuskan latihan dan kursus kemahiran secara percuma kepada pelbagai kategori golongan OKU.

Menurutnya, sejak dimulakan Januari lalu, hampir 30 peserta telah mengikuti latihan kemahiran pilihan masing-masing dan kerajaan negeri menyasarkan tidak kurang 70 peserta dapat dilahirkan menerusi program itu akhir tahun ini.

"Pasak telah merangka lima program latihan kemahiran iaitu refleksologi, salun dan guntingan rambut, teknologi maklumat, jahitan dan pastri.

"Dua daripadanya telah pun dijalankan, manakala bakinya dalam pelaksanaan yang mana setiap daripada program itu akan melibatkan peserta antara 12 ke 15 orang terdiri daripada golongan OKU.

"Oleh kerana kursus ini mengambil masa dalam dua minggu ke satu bulan, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan penempatan asrama serta makanan kepada setiap peserta," katanya ketika mengadakan tinjauan ke kursus refleksologi di bawah program TVET OKU di IGB Training and Consultancy di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu antara lain bagi mengupayakan kemahiran golongan OKU agar mereka dapat berdikari dengan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi ruang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Kursus refleksologi yang disertai 12 peserta OKU merupakan program TVET OKU yang dilaksanakan kerajaan Perak.
Kursus refleksologi yang disertai 12 peserta OKU merupakan program TVET OKU yang dilaksanakan kerajaan Perak.

Katanya, ini dibuktikan menerusi pendaftaran diterima dalam kalangan mereka yang mengalami cacat penglihatan, bisu dan pekak, masalah pembelajaran (lembam) serta yang mengalami kecacatan fizikal seperti kudung tangan atau kaki.

"Kebanyakan mereka ini mempunyai minat untuk belajar dan telah pun mempunyai asas kemahiran, hanya perlu kepada pengukuhan.

"Setakat ini, kita tidak menetapkan sebarang had umur atau kelayakan, selagi mana mereka berminat dan merasakan mempunyai keupayaan, maka kita buka ruang seluasnya, hanya perlu datang kepada Pasak dan daftarlah ikut minat kemahiran masing-masing," katanya.

Ahmad Saidi berkata, sebagai komitmen terhadap usaha itu, pihaknya akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan program sama tahun hadapan.

"Program TVET ini biasanya untuk individu yang normal tetapi kerajaan Perak telah memulakan langkah awal yang menjadi satu bentuk inisiatif baharu kepada OKU.

"Jadi saya merasakan ia perlu dilaksanakan secara berterusan agar lebih ramai kalangan OKU ini diiktiraf menerusi kemahiran mereka," katanya.

Seorang peserta, Mohd Shahrizal Ismail, 24, dari Batu Kurau berazam untuk membuka pusat urutan dan refleksologi sendiri sebagai sumber pendapatan.

Selama setahun ini, dia yang mengalami masalah penglihatan hanya mengambil upah mengurut di rumah dengan kadar antara RM40 ke RM60.

"Saya ada ambil kursus sebelum ini, tetapi masih tidak berapa yakin nak buka pusat urutan sendiri, jadi saya cuba tambah ilmu menerusi latihan kemahiran di sini pula.

"Saya mahu lebih serius dalam bidang ini bukan sahaja untuk membantu diri dan keluarga, tetapi lebih penting supaya dapat dijadikan inspirasi kepada golongan yang senasib dengan saya," katanya.