X

Kindly register in order to view this article
!

Boleh dikompaun sehingga RM500 jika tidak asing sisa pepejal

Dr Daroyah (tengah) melancarkan program Upcycling, Trash to Cash dan aktiviti kebun di PPR Pekan Kepong pada Ahad.
A
A

KEPONG – [DIKEMAS KINI] Jumlah kompaun ketidakpatuhan pengasingan sisa pepejal di bawah Peraturan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca, Akta 672 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah rendah.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Mohd Zahir Shari berkata, ia disebabkan pendekatan kerajaan untuk mendidik masyarakat mematuhi peraturan tersebut berbanding tindakan penguatkuasaan sejak Jun 2016.

Menurutnya, pihaknya banyak mengadakan program kesedaran bersama masyarakat untuk memberikan pemahaman mengenai peraturan tersebut sebelum mengeluarkan notis dan kompaun kepada pihak yang dikesan melanggar kesalahan berulang.

"Kalau dulu kadar kompaun adalah RM50 untuk perumahan bertanah (landed) dan bilangan individu atau pihak yang dikompaun tidak ramai. Sekarang kadar itu dinaikkan kepada RM500 sejak September tahun lalu dan setakat ini belum ada yang dikenakan kompaun tersebut, namun Peraturan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca ini masih berkuat kuasa dan terus diperkasakan," katanya ketika ditemui dalam program Upcycling, Trash to Cash dan aktiviti kebun di PPR Pekan Kepong pada Ahad.

Program itu merupakan inisiatif yang dijalankan melalui kerjasama pintar antara SWCorp, DSME Waste Managment dan komuniti PPR Pekan Kepong.

Perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi SWCorp, Dr Daroyah Alwi.

Mohd Zahir berkata, setakat ini sebanyak 7,000 premis telah diperiksa dan mendapati kebanyakan daripada pemilik melakukan pengasingan sisa pepejal.

"Selain sisa ini dikutip oleh kontraktor konsesi, pengguna juga ada banyak pilihan lain antaranya menghantar ke pusat kitar semula atau ke program bersesuaian.

"Secara keseluruhan, penglibatan penduduk sangat baik cuma kita perlu perkemas lagi pengurusan terutama bagi unit bertingkat yang memastikan penghuninya mematuhi peraturan tersebut," katanya.

Menurutnya, terdapat sangkar kitar semula disediakan bagi kemudahan penduduk melakukan pengasingan sampah pada peringkat permulaan untuk memudahkan kontraktor pembersihan melakukan kutipan.

"Namun ada isu apabila kemudahan itu disalah guna termasuk membuang sampah bercampur.

"Jadi kita buat kajian dan lihat kesesuaian. Ada kawasan dibuat program kitar semula atau Trash to Cash dan tidak semestinya tertumpu penyediaan sangkar untuk pengasingan sisa sampah sahaja," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!