Pemuda Amanah mungkin tanding Bebas jika tidak tercalon PRN

Ahmad Shukri
Ahmad Shukri
A
A
A

REMBAU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan menghantar calonnya bertanding Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota sekiranya hasrat mereka untuk bertanding di situ tidak diterima oleh kepimpinan parti.

Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin berkata, buat masa ini mereka masih menunggu watikah daripada parti untuk mencalonkan bekas penyelaras DUN berkenaan, Muhammad Allif Ibrahim.

"Kami masih mendesak kepimpinan parti untuk menghantar calon Pemuda untuk bertanding di situ dan kami yakin parti akan dengar suara kami.

"Lagi pun semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu pun Pemuda tak diberi sebarang kerusi dalam Parlimen dan tak sepatutnya kali ini kami sekali lagi diketepikan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan kaji selidik pengundi dan kepimpinan setempat DUN Kota, ramai yang mengharapkan Muhammad Allif sebagai calon DUN Kota.

Ini kerana ujarnya, beliau telah menunjukkan trek rekod yang baik sebagai Penyelaras DUN dan mempunyai lebih kekuatan berbanding calon UMNO yang ditampilkan.

"Kalau kami bertanding Bebas pun, peratusan kami menang itu lagi tinggi. Kita bukannya syok sendiri nak hantar calon untuk popular, tapi ini juga adalah suara akar umbi pengundi Kota.

"Malah ada beberapa cawangan UMNO pun telah suarakan pandangan yang mereka mahukan Muhammad Allif sebagai calon," katanya.

Malah katanya, mereka juga bersedia berdepan tindakan daripada parti disebabkan ketegasan untuk terus bertanding di situ.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan keputusan Pemuda Amanah untuk bertanding di DUN Kota bagi memastikan parti itu kekal bertanding di tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Ini kerana, kerusi DUN Lenggeng yang merupakan milik parti sebelum ini telah diberi kepada Barisan Nasional (BN).

BN/UMNO sebelum ini mengumumkan Ahli Jawatankuasa Bahagian Rembau, Suhaimi Aini sebagai calon DUN Kota menggantikan Datuk Seri Awaludin Said.