Pemimpin Melayu perlu muhasabah diri, kata Rais Yatim

Rais (kiri) menerima cendera kenangan disampaikan Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan (PKMMNS), Shahriel Tarmizi selepas merasmikan pejabat baru PKMMNS di Taman Shah Bandar, Ampangan, hari ini. - Foto Bernama
Rais (kiri) menerima cendera kenangan disampaikan Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan (PKMMNS), Shahriel Tarmizi selepas merasmikan pejabat baru PKMMNS di Taman Shah Bandar, Ampangan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Pemimpin Melayu perlu bermuhasabah diri dan bersatu demi masa depan orang Melayu, kata tokoh politik veteran, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, pada masa ini kepimpinan politik Melayu dilihat semakin berpecah-belah sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalam politik negara.

“Saya menyeru supaya orang Melayu mempunyai konsep fahaman siapa kita dan bagaimana kita harus menjamin 'kemajoritian' ini menjadi terjemahan dalam kuasa politik.

“Malangnya pada hari ini apa yang lebih diutamakan ialah siapa nak jadi Perdana Menteri dan hanya tertumpu kepada diri sendiri, bukan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan, di sini pada Khamis.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara turut berharap individu yang berstatus 'lama' dalam pentadbiran negara menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman mereka untuk menyatupadukan orang Melayu dalam politik.

“Kita kena satu hati demi masa depan orang Melayu, tidak keberatan untuk orang ‘lama’ berbincang (soal) bangsa kita, jika tidak seolah-olah politik mungkin dilihat sebagai pemecah kepada perpaduan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: