Usahawan tidak formal dijangka meningkat: Wan Junaidi

Wan Junaidi (dua dari kiri) menyampaikan geran pembiayaan di bawah skim Pembiayaan Informal (SPIN) di Plaza Angsana pada Khamis.
Wan Junaidi (dua dari kiri) menyampaikan geran pembiayaan di bawah skim Pembiayaan Informal (SPIN) di Plaza Angsana pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah usahawan sektor tidak formal dijangka meningkat pada tahun ini berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peningkatan itu susulan ramai yang kehilangan kerja dan mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan tidak formal seperti peniaga kecil dan penjaja.

Menurut beliau, agensi di bawah kementeriannya iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional komited membantu usahawan tidak formal menerusi peruntukan RM50 juta di bawah skim Pembiayaan Informal (SPIN) untuk tahun ini.

"Pada tahun lepas, seramai 248 usahawan tidak formal telah dibantu menerusi Spin dengan peruntukan sebanyak RM1.18 juta. Usahawan tidak formal yang mendapat pembiayaan SPIN pada tahun ini dijangka akan meningkat.

"Kementerian berharap dengan pembiayaan di bawah SPIN lebih ramai usahawan yang baharu hendak memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan dalam tempoh pandemik ini dapat dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Negeri Johor oleh agensi-agensi di bawah MEDAC di Plaza Angsana di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, kementeriannya melalui agensi seperti UDA Holdings Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNS), Tekun Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Rakyat telah menyalurkan bantuan pembiayaan sebanyak RM9 juta kepada usahawan koperasi di Johor.

"Kementerian berharap agar usahawan mampu untuk terus berdaya saing dalam setiap bidang yang diceburi menerusi pembiayaan yang diberikan seterusnya menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk meneroka perspektif lebih luas.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif yang disalurkan membuktikan kesediaan MEDAC yang komited membantu usahawan agar lebih berdaya saing dalam situasi pandemik ketika ini," katanya.