Felda tawar 4,500 peluang pekerjaan di ladang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menawarkan 4,500 jawatan kosong kepada warga tempatan khususnya masyarakat Felda menerusi Briged Operasi Ladang melibatkan 10 Wilayah Felda di negara ini.

Timbalan Pengarah Besar (Operasi) Felda, Datuk Amir Hamdan Yusof berkata, usaha berkenaan dikendalikan di bawah pakej Penjana @ Felda dengan pengambilan pekerja dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, Felda bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menjayakan beberapa inisiatif bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi baharu Felda dan golongan kehilangan pekerjaan.

"Bagi fasa permulaan ini kita membuka ruang temuduga membabitkan beberapa jawatan termasuk Briged Operasi Ladang dengan 896 kekosongan yang ditawarkan daripada keseluruhan 4,500 kekosongan yang akan ditawarkan di lokasi lain," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Penjana@Felda di Pejabat Wilayah Felda Raja Alias, Feldajaya Selatan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK,Azaddin Ngah Tasir dan Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Operasi Perkeso, John Riba Anak Marin.

Mengulas lanjut, Amir Hamdan berkata, pelbagai insentif menarik disediakan bagi menarik minat generasi baharu Felda terlibat dalam industri perladangan.

"Faedah istimewa seperti pendahuluan pembelian motosikal bernilai RM1,000, elaun persediaan kerja antara RM500 hingga RM1,000, elaun motosikal (RM100), elaun perumahan (RM100), insentif kehadiran (RM100) dan elaun produktiviti (RM100) ditawarkan kepada semua calon yang berjaya dalam temuduga ini.

"Usahasama antara semua agensi ini bersandarkan aspirasi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi warga Felda di samping mewujudkan komuniti yang celik kewangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, peruntukan bagi insentif yang berjumlah RM2 bilion itu akan disalurkan oleh

Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso manakala AKPK akan menyediakan program latihan induksi dengan kerjasama Yayasan Felda bagi semua calon yang berjaya.

Sempena program Penjana@ Felda pada Khamis seramai 340 individu yang hadir pada sesi temuduga yang bermula Rabu, seramai 316 calon berjaya ditawarkan pekerjaan.