Jenayah sihir boleh dibuktikan melalui DNA

Gambar kecil: Nik Ahmad Kamal
Gambar kecil: Nik Ahmad Kamal
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Kes -kes jenayah sihir boleh disiasat dengan menggunakan kaedah-kaedah pembuktian forensik termasuklah bukti daripada asid deoksiribonukleik (DNA).

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pihak berkuasa boleh membuat ujian DNA terhadap barang-barang milik mangsa yang diambil daripada pihak yang mengamalkan sihir.

“Sebagai contoh, penyihir perlu memiliki bahan-bahan kepunyaan mangsa seperti rambut, pakaian, barang milik mangsa yang mangsa suka dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan perbuatan ahli sihir tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.Nik Ahmad Kamal menjelaskan, perbuatan sihir telah menjadi sebahagian daripada ilmu hitam di negara ini dan amalan itu perlu ditangani.

“Misalnya santau adalah satu perbuatan kejam yang menyebabkan kecederaan sepanjang hayat dan kadangkala ada kematian yang tidak dapat dikesan oleh perubatan moden.

“Ramai pakar dan ulama yang bercakap tentang hal ini dan kini sudah sampai masanya kita mengekang perbuatan sihir dengan undang-undang,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:Wujudkan undang-undang jenayah ilmu hitam

Brunei negara terawal laksana undang-undang sihir

Tubuh jabatan siasatan khas

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pihak berkuasa negeri-negeri boleh mengambil inisiatif tentang perkara ini dengan bantuan pakar-pakar dan penyelidik yang telah menghasilkan kajian secara ilmiah.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia, enakmen jenayah negeri boleh digubal mengikut kaedah yang diamalkan di Brunei menerusi Undang-undang Kanun Jenayah Syariah mereka dan peruntukan dalam kategori kesalahan-kesalahan yang bertentangan dengan Islam di bawah Perlembagaan, Jadual ke 9, Senarai 2, adalah asas untuk menggubalkan kesalahan tersebut.

Jelas beliau, peruntukan itu termasuklah beban pembuktian yang diperlukan bagi mensabitkan kesalahan tersebut.

Nik Ahmad Kamal berkata, pada peringkat awal beliau amat skeptikal dengan cadangan mewujudkan undang-undang tentang sihir.

Namun, apabila membaca beberapa hasil penyelidikan pakar dalam bidang undang-undang tentang sihir ini, beliau yakin bahawa undang-undang sihir ini boleh digubal.

“Perkara utama dalam undang-undang jenayah ialah niat dan perbuatan, maka jika dua elemen ini dapat dizahirkan dalam bentuk peruntukan undang-undang yang mantap, undang-undang sihir ini akan dapat digubal dengan baik.

“Selain itu, isu utama yang harus diselesaikan adalah pembuktian dan saya melihat satu kerangka pembuktian boleh diwujudkan dengan merujuk kepada perbuatan sihir tersebut, bahan-bahan yang digunakan, modus operandi pengamal ilmu hitam menjalankan kerja mereka dan pendapat pakar ilmu sihir sebagai saksi pakar jika kes dibawa ke mahkamah,” katanya.