Pekerja Malaysia ulang-alik Singapura terima vaksin fasa kedua

Hasni (tengah) menyerahkan sijil peserta program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang sempena majlis perasmian program terbabit di Parit Dahlan Benut, Pontian pada Ahad.
Hasni (tengah) menyerahkan sijil peserta program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang sempena majlis perasmian program terbabit di Parit Dahlan Benut, Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Kira-kira 100,000 pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura dijangka menjadi penerima vaksin fasa kedua di bawah Program Imunisasi Covid -19 Kebangsaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pemberian vaksin kepada golongan berkenaan merupakan program khas yang diputuskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), baru- baru ini.

Katanya, satu sistem sedang dibangunkan MOSTI bagi membolehkan individu yang layak mendaftar untuk mengikuti program berkenaan.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada MOSTI kerana menyediakan satu program khas kepada pekerja yang berulang- alik dari Malaysia ke Singapura. Secara keseluruhannya dianggarkan seramai 400,000 pekerja Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari.

"Kira-kira seramai 100,000 individu akan menerima suntikan vaksin di bawah program ini seiring dengan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pelancaran Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang di Daerah Pontian yang diadakan di Parit Dahlan, Benut, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Johor, Datuk Sawalludin Ahmad.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Benut, berharap pemberian vaksin kepada golongan terbabit akan mempercepatkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara, sekali gus melonjakkan semula sektor ekonomi di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 agar penularan Covid -19 di negara ini dapat dikekang.

"Saya sendiri telah menerima suntikan berkenaan dan sehingga hari ini semuanya baik sahaja," katanya.

Dalam pada itu, seramai 24 peserta terdiri daripada ahli di empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Selatan, Pekan Nanas, Benut dan Ayer Baloi terlibat dengan Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang di Daerah Pontian.

Program mendedahkan peserta teknik meningkatkan hasil 10 tanaman terdiri daripada ubi, pisang, nanas, kopi, serai, kunyit, integrasi kelapa dan pisang, lada hitam, fertigasi cili serta fertigasi timun.