X

Kindly register in order to view this article
!

Undang-undang berkaitan rasuah perlu diteliti semula

MOHD ARSHAD MOHD RAJI. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang berkaitan rasuah perlu diteliti semula kerajaan supaya dapat mewujudkan stigma bahawa rasuah adalah jenayah yang cukup berat dan jijik.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohd Arshad Mohd Raji berkata, undang-undang sedia ada tidak benar-benar memberi ketakutan kepada masyarakat hinggakan mereka yang didakwa atas kesalahan itu juga langsung tidak menunjukkan rasa malu ketika dihadapkan ke mahkamah.

"Kita tengok apa berlaku sekarang, mereka yang pergi bicara atas kesalahan rasuah langsung tidak nampak muka bersalah.

"Bila keluar kamar mahkamah boleh tersenyum dan melambai-lambai tangan. Jadi pada pandangan orang, rasuah ini tak ada benda pun. Dia masuk mahkamah dengan ketawa dan keluar mahkamah pun dia boleh lagi ketawa," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-238 bertajuk 'Kalau sayangkan negara kenapa sanggup rasuah?' yang disiarkan secara langsung di semua platfom digital Sinar Harian pada malam Khamis.

Bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Urusan Zubedy dan Core Team #RasuahBusters, Anas Zubedy manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan pula sebagai moderator.

Justeru, Mohd Arshad berkata, Malaysia seharusnya mencontohi negara yang berjaya membanteras rasuah seperti Singapura dan Eropah dari segi pelaksanaan undang-undangnya.

"Kita kena tengok macam mana negara jiran kita Singapura dan Eropah banteras rasuah.

"Saya difahamkan undang-undang di kebanyakan negara mewajibkan seseorang yang didakwa atas kesalahan rasuah perlu ditahan dipenjara sehingga hukuman dijatuhkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Arshad berkata, untuk membanteras dan melawan rasuah, usaha perlu dilakukan bermula di peringkat sekolah.

Katanya, Patriot akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan untuk menyumbang dalam mendidik anak-anak muda membenci rasuah menerusi kempen Rasuah Busters.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!