Khalid tubuh jawatankuasa kumpul petisyen tamat darurat

Khalid (empat dari kanan) pada sidang akhbar pemakluman Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Khalid (empat dari kanan) pada sidang akhbar pemakluman Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat ditubuhkan bagi mengumpul petisyen supaya pengisytiharan darurat ditamatkan segera.

Pengerusinya, Khalid Samad berkata, beliau tidak meletakkan angka tandatangan yang bakal dikumpulkan namun menyasarkan untuk menyerahkan petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum Ramadan.

Menurutnya, petisyen tersebut telah dirangka lebih awal dan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat menerusi laman web www.tamatdarurat.com untuk memudahkan orang ramai menurunkan tandatangan.

"Setakat ini kita telah memperoleh beberapa ratus tandatangan daripada individu dan juga badan bukan kerajaan.

"Dalam usaha mengumpul tandatangan, kita telah diminta oleh orang ramai menyediakan laman web untuk memudahkan semua yang ingin darurat ditamatkan, menandatangani petisyen yang disediakan," katanya pada sidang akhbar di Hotel Tamu Kampung Baru pada Jumaat.

Turut menganggotai jawatankuasa tersebut adalah bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Timbalan Presiden Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, jawatankuasa itu bukan bersifat politik atau di bawah Pakatan Harapan (PH) sebaliknya ditubuhkan atas kapasiti orang perseorangan.

"Ia terbuka kepada mana-mana ahli politik daripada parti mana sekali pun. Anggota parti daripada BN pun kalau sayangkan negara dan merasakan darurat tidak wajar diteruskan dialu-alukan turut serta.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, buat masa ini tiada wakil daripada kerajaan ada dalam jawatankuasa ini.

"Saya bersama ahli jawatankuasa merayu setiap rakyat Malaysia yang mencintai negara ini menandatangani petisyen ini. Tidak perlu khuatir terhadap keselamatan diri dan kemungkinan adanya tindak balas daripada mana-mana pihak kerana kita menyuarakan pandangan kita mengikut hak dan lunas undang-undang," katanya.

Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos atau atau lebih awal jika jumlah Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Ia telah menyebabkan beberapa pihak membuat bantahan termasuk tiga wakil rakyat PH iaitu Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari yang membawa isu tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada Khamis Mahkamah Tinggi memutuskan menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Mahkamah dalam penghakimannya berkata, Perkara 150(8) menutup pintu undang-undang daripada sebarang permohonan atau tindakan mencabar proklamasi dan ordinan yang di bawah undang-undang darurat.